SRITI Tok Guru buka pendaftaran murid baharu

NIK HAMDI ABDUL GHANI
NIK HAMDI ABDUL GHANI
A
A
A

KOTA BHARU - Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Tok Guru Pulau Melaka membuka pendaftaran bagi kemasukan murid baharu untuk Tahun Satu hingga Enam.

Pengerusinya, Nik Hamdi Abdul Ghani berkata, pendaftaran kemasukan murid dibuat sepanjang masa dan maklumat lanjut boleh diketahui dengan menghubungi 014-6037171.

Menurutnya, ibu bapa dari luar Kelantan turut dialu-alukan untuk menghantar anak ke sekolah tersebut kerana asrama disediakan.

Beliau berkata, setakat ini terdapat seramai 110 murid sudah memulakan pengajian di sekolah itu.

SRITI Tok Guru di Pulau Melaka membuka pendaftaran baharu kepada semua murid di dalam dan luar Kelantan.
SRITI Tok Guru di Pulau Melaka membuka pendaftaran baharu kepada semua murid di dalam dan luar Kelantan.

“SRITI Tok Guru ini merupakan sebuah pusat pendidikan peringkat rendah yang menggunakan silibus sama dengan SRITI Malaysia.

“SRITI Tok Guru juga merupakan usaha kesinambungan kepada Pusat Asuhan Tunas Islam yang menawarkan pendidikan bersepadu peringkat rendah yang berasaskan kurikulum integrasi tahfiz, fardu ain dan fardu kifayah,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Dengan visi melahirkan generasi soleh, pintar rabbani dan murabbi itu, Nik Hamdi berkata, pihaknya juga menggunakan sistem pengajian khusus berkonsepkan tauhid merentasi kurikulum.

Artikel Berkaitan:

“Dari segi objektif juga SRITI Tok Guru mahu mendidik generasi Islam bagi melahirkan insan yang beriman, berakhlak dan berilmu serta memahami Islam sebagai agama yang lengkap dan syumul.

“Selain itu, kita juga mahu melahirkan generasi muda Islam yang dapat menghafal dan menghayati isi kandungan al-Quran, menguasai ilmu syar’ie dan waqi’e, memiliki sahsiah terpuji serta mempunyai kecerdasan mental dan fizikal,” katanya.

Nik Hamdi berkata, pencapaian SRITI Tok Guru juga amat membanggakan dengan mewakili beberapa acara termasuklah menyertai Pertandingan Memanah Musleh International Student Traditional Archery Championship, mendapat Anugerah Olahragawati Terbaik Sukan SRITI peringkat Kelantan dan juga mewakili negeri bagi acara memanah dalam Sukan SRITI peringkat kebangsaan.

Penaung SRITI Tok Guru ialah Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen Bachok.