Raja-raja Melayu hadiri mesyuarat khas sempena Istiadat Melafaz Sumpah Agong ke-16

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Balairung Seri, Istana Negara hari ini. - Foto Bernama

A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan dan Raja-Raja Melayu berangkat ke Istana Negara hari ini bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Mesyuarat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara pada 10.55 pagi itu dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan yang diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra.

Raja-Raja yang berangkat ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Kedah Sultan Salehuddin Almarhum Sultan Badlishah, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Turut hadir kesemua Yang Dipertua Negeri iaitu Tun Dr Mohd Khalil Yaakob (Melaka), Tun Abdul Rahman Abbas (Pulau Pinang), Tun Abdul Taib Mahmud (Sarawak) dan Tun Juhar Mahiruddin dari Sabah.

Pada mesyuarat itu, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, manakala Sultan Perak Sultan Nazrin Shah akan melafaz sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sebaik melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan itu, Sultan Abdullah yang menggantikan Sultan Muhammad V secara rasminya menduduki takhta selama lima tahun bermula hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Bernama

Artikel Berkaitan: