Kalah kepada United aksi terburuk PSG

No Image Caption
A
A
A

KEKALAHAN 1-2 Paris Saint Germain (PSG) kepada Manchester United di gelanggang sendiri pada aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) kelmarin dilihat berpunca akibat aksi buruk yang dipamerkan pasukan berkenaan.

Pengendali PSG Thomas Tuchel berkata, aksi yang dipamerkan kesebelasan pasukan berkenaan nyata terlalu buruk hingga menyaksikan kelab berkenaan memulakan aksi sulung untuk UCL kali ini dengan nota kekalahan.

Malah menurut pengendali kelahiran Jerman itu, aksi buruk skuad kendaliannya itu telah dapat dilihat pada separuh masa pertama lagi.

"Pada separuh masa pertama, kita tidak beraksi sepenuhnya di atas padang. Saya pun tidak tahu mengapa, tetapi apa yang boleh saya katakan segala-galanya tidak menjadi buat kita.

“Bermula daripada kawalan bola, serangan balas, cabaran kesemuanya nyata tidak menjadi buat kita.

“Perlawanan ini menjadi satu daripada aksi terburuk kita dan juga aksi terburuk kita pada separuh masa pertama,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, pelawat membuka jaringan menerusi Bruno Fernandes yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-23.

Bagaimanapun jaringan sendiri penyerang The Red Devils, Anthony Martial pada minit ke-55, dilihat mula memberikan sedikit harapan kepada PSG untuk kembali bangkit dan menamatkan perlawanan dengan berkongsi mata dengan pelawat.

Artikel Berkaitan:

Namun jaringan Marcus Rashford tiga minit sebelum wisel penamat, meleburkan hasrat berkenaan dan sekali gus menyaksikan United ceria membawa pulang tiga mata berharga ke Old Trafford.

Sementara itu Tuchel berkata, dia tidak merasakan aksi tanpa penonton memberi kesan hingga menyumbang kepada kekalahan pasukan.

Katanya, situasi sedemikian seharusnya telah berjaya diadaptasi oleh pemain dan tidak menjadikannya sebagai alasan apabila tewas dalam perlawanan.

“Saya sendiri tidak berasa apa-apa apabila beraksi tanpa penonton. Lagipun, sebenarnya kita telah mengharungi banyak perlawanan tanpa kehadiran penonton,” katanya.