Penganggur didakwa ugut pukul ibu

Tertuduh (depan, tengah) dibawa anggota polis di Mahkamah Majistret Kulim hari ini.
Tertuduh (depan, tengah) dibawa anggota polis di Mahkamah Majistret Kulim hari ini.
A
A
A

KULIM - Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Kulim hari ini atas tuduhan melakukan ugutan jenayah dan khianat terhadap ibu kandungnya pada 10 Oktober lalu.

Tertuduh, Mohammad Nizam Mohd Yusof, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengugut mahu memukul ibunya dengan sebatang kayu di sebuah rumah di Taman Kenari, pada jam 7.20 petang, 10 Oktober lalu.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan khianat merosakkan perkakasan rumah di lokasi sama pada jam 7.30 petang hari yang sama.

Atas perbuatan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan, denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Akmal Abdul Ghani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Che Rohana Ismail tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Artikel Berkaitan:

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 November depan.