X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Darul Hanan asingkan kontak rapat warga emas

Pusat Jagaan Darul Hanan kini mengasingkan dan kuarantin kontak rapat kepada sejumlah warga emas yang disahkan positif.
A
A

GEORGETOWN - Semua kakitangan dan penghuni yang mempunyai kontak rapat kepada warga emas di Pusat Jagaan Darul Hanan di Pongsu Seribu, Kepala Batas yang disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19) telah diasingkan daripada penghuni dan kakitangan lain.

Pengerusinya, Datuk Jahara Hamid berkata, kesemua mereka yang dikenalpasti diasing dan dikuarantinkan sebagai langkah untuk menyekat penularan virus itu dalam kalangan pusat jagaan tersebut.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai jumlah penghuni pusat jagaan itu yang disahkan positif kerana belum menerima maklumat lengkap.

"Pada waktu ini, kita mempunyai 70 penghuni di sini. Berhubung sama ada penghuni di situ dijangkiti Covid-19, saya tidak boleh beri sebarang komen, kena tunggu kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bagaimanapun, kita mengambil langkah segera dalam mengasingkan dan kuarantin mereka yang mempunyai kontak rapat dengan sejumlah warga emas yang disahkan positif,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Jahara berkata, difahamkan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan penghuni yang positif perlu menjalani ujian saringan, namun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Terdahulu, difahamkan seorang wanita warga emas yang baru masuk ke pusat jagaan tersebut minggu lalu disahkan positif Covid-19.

Wanita itu disahkan positif selepas keputusan ujian saringannya diperoleh kelmarin.

Sementara itu, ujian saringan terhadap kontak rapatnya di pusat jagaan yang sama mendapati tujuh lagi warga emas turut positif.

Darul Hanan kini mempunyai 70 penghuni yang terdiri daripada 50 wanita dan 20 lelaki yang mana, kapasiti pusat jagaan itu mampu memuatkan 200 penghuni.

Darul Hanan dibina di bawah pembiayaan Yayasan Bukhary di atas sebahagian tanah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) seluas 3.24 hektar penempatan dan penjagaan warga emas Islam termasuk lelaki dan perempuan.

Antara prasarana yang disediakan adalah bangunan asrama, perpustakaan, kafeteria, surau, wad, dewan serbaguna dan bengkel.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!