Kementerian Sumber Manusia beri amaran kepada majikan

Awang (kanan) melihat demonstari pendawaian yang dilakukan oleh pelajar Kolej Keda ketika lawatannya di sini hari ini.
Awang (kanan) melihat demonstari pendawaian yang dilakukan oleh pelajar Kolej Keda ketika lawatannya di sini hari ini.
A
A
A

SIK - Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi amaran kepada majikan supaya tidak membuat permohonan palsu Program Subsidi Upah (PSU) 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dibuka bermula 1 Oktober hingga 31 Disember depan.

Timbalan Menterinya, Awang Hashim berkata, ini kerana pihak Perkeso telah mengenalpasti terdapat segelintir majikan yang bertindak mengemukakan tuntutan palsu dan menyalah guna dana program berkenaan sejak diperkenalkan kali pertama pada April lalu.

Katanya, setakat ini sebanyak 281 kes diterima Perkeso melibatkan aduan majikan yang membuat tuntutan palsu dan gagal membayar gaji walaupun menerima bantuan PSU.

"Perkeso berhak untuk memberhentikan dan menggantung bayaran serta menuntut semula bayaran yang diterima selain mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang gagal memenuhi syarat yang ditetapkan,"katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan rasmi ke Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di sini, hari ini.

Menurutnya, Perkeso bekerjasama dengan bahagian Perundangan KSM bagi mengenal pasti tindakan undang-undang yang boleh diambil ke atas majikan yang tidak mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

"Kita sebolehnya ingin mengelakkan sebarang tindakan undang-undang ke atas mereka (majikan), tetapi apabila ia berlaku juga kita tidak ada pilihan lain, dan tindakan ini adalah sebagai pengajaran kepada mereka," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Senarai hitam majikan salah guna Program Subsidi Upah

Tambahnya, Perkeso juga sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa kes masih dalam peringkat siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Perkeso akan meneruskan perkongsian maklumat lengkap agar siasatan dapat dimulakan ke atas majikan-majikan yang gagal untuk mematuhi bayaran di bawah PSU," katanya.

Sebelum ini, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed mendedahkan terdapat 30 tuntutan palsu dan salah guna dana PSU daripada majikan di beberapa negeri termasuk Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor, Pahang dan Sarawak.