Anak lelaki Altantuya terpaksa tukar nama

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Anak sulung Altantuya Shaariibuu berkata dia terpaksa menukar namanya kerana publisiti negatif yang timbul akibat kematian ibunya selain dibuli di sekolah.

Bayarkhuu Bayarjargal, 21, yang menukarkan namanya daripada Mungunshagai Bayarjargal, memberitahu prosiding perbicaraan kes saman sivil di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia berusia sembilan tahun ketika Altantuya mati.

Ketika ditanya oleh peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili keluarga Altantuya, mengenai bagaimana perasaannya ketika mengetahui kematian Altantuya, Bayarkhuu berkata dia terkejut dan berasa sangat sedih.

"Saya bertanya kepada diri sendiri mengapa nasib saya sangat malang kehilangan ibu. Saya bertambah marah dan terluka apabila mendapat tahu bahawa dia dibunuh di Malaysia dan membenci mereka yang bertanggungjawab atas kematiannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan mendengar kes saman RM100 juta yang difailkan oleh keluarganya terhadap dua bekas dua anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan kerajaan Malaysia.

Bayarkhuu berkata selama tiga tahun pertama atau lebih, dia menghabiskan masanya semasa musim panas dengan tinggal bersama saudara-mara di kawasan desa untuk mengelakkan gosip mengenai pembunuhan ibunya pada 2006.

"Ia adalah tahun yang sangat menyakitkan dan menyedihkan kerana saya masih ingat dengan jelas apa yang diberitahu oleh ibu bapa kawan-kawan supaya mereka tidak bermain dengan saya hanya kerana ibu saya dibunuh di Malaysia," katanya.

Bayarkhuu berkata dia diberitahu neneknya bahawa ibunya telah meninggal dunia dan, selepas beberapa waktu, mengetahui lebih banyak mengenai butiran menerusi berita dan orang-orang di sekelilingnya bercakap mengenainya, dan melalui Internet ketika usianya meningkat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, hubungannya dengan seorang gadis juga terjejas apabila hakikat bahawa dia adalah anak lelaki Altantuya diketahui.

Ketika diminta menceritakan mengenai latar belakang ibunya, Bayarkhuu mengimbas kembali bahawa dia seorang wanita yang penyayang dan gemar mengharungi cabaran dan sering membawa dia dan orang lain menonton filem, berkelah dan ke taman permainan.

Sangeet Kaur: Siapa yang menanggung perbelanjanan pendidikan kamu dan saudara lelaki kamu serta kos perubatan selepas kematian ibu kamu?

Bayarkhuu: Datuk saya terpaksa terus bekerja untuk membiayai perbelanjaan kami termasuk perbelanjaan isi rumah sementara nenek saya tinggal di rumah untuk menjaga adik lelaki saya.

Sangeet Kaur: Adakah kamu bekerja untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung datuk kamu?

Bayarkhuu: Ya, saya membuat kerja-kerja rencam untuk menanggung mereka semasa cuti persekolahan saya dan saya juga menjual barangan seperti CD dan DVD di jalanan.

Sementara itu, sepupu Altantuya, Namiraa Gerelmaa, 35, memberitahu mahkamah bahawa Altantuya diupah Abdul Razak untuk khidmat terjemahan berkaitan pembelian dua kapal selam tentera.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa Altantuya memberitahu dia bahawa Abdul Razak ingin mempunyai cahaya mata dengannya (Altantuya) dan bahawa beliau memperkenalkan Altantuya kepada peguamnya di Malaysia sebagai isterinya'.

Bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan isterinya Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka – Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga – memfailkan saman itu pada 4 Jun, 2007.

Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian digugurkan sebagai plaintif selepas dia meninggal dunia dua tahun lepas.

Dalam pernyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa bahawa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka dibayar ganti rugi dengan ganti rugi teladan dan ganti trugi teruk.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera disambung esok.- Bernama