Syarat UMNO untuk tambah baik kerjasama politik: Ahmad Maslan

AHMAD MASLAN
AHMAD MASLAN
A
A
A

PONTIAN - Syarat baharu diusulkan UMNO bagi meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilakukan bagi tujuan penambahbaikan hubungan dan persefahaman politik dalam gabungan berkenaan.

Menyifatkan pandangan yang menyatakan syarat baharu itu bersifat ugutan adalah pandangan individu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, syarat itu hanya bagi menjelaskan pendirian UMNO.

Ahmad berkata, usul itu telah dinyatakan dalam mesyuarat menerusi sidang video antara beliau dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PN, kelmarin.

Katanya, hasrat itu juga akan disampaikan secara bertulis dalam surat kepada Muhyiddin.

"Perdana Menteri menerusi Datuk Seri Hamzah Zainudin (Setiausaha Agung PN), meminta kami menghantar surat kepada beliau selaku Pengerusi PN. Apa yang dibincangkan dalam sidang video itu... saya minta maaf, saya tidak boleh nyatakan pada masa ini.

"Biarlah Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) umumkan bila sesuai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mahasiswa kawasan Pontian di sini hari ini.

Ahmad berkata, kedudukan UMNO sebagai parti terbesar yang mempunyai bilangan ahli Parlimen terbanyak dalam kerjasama politik PN, perlu dihormati.

“Sebab itu, saya senaraikan (bilangan kerusi)... kadang-kadang ada yang lupa tentang kerusi. Mereka sikit kerusi tetapi mereka ingat banyak kerusi, sebab itu saya ingatkan fakta politik kerana politik 'is a game of numbers'.

Artikel Berkaitan:

"Siapa yang banyak kerusi lebih berhak dan sepatutnya diberikan tempat, diberikan rundingan lebih baik daripada apa yang ada sekarang, jadi itu yang kita ingin nyatakan dalam perundingan baharu ini," katanya.

Mengenai tindakan yang akan dilakukan sekiranya syarat baharu itu ditolak, beliau berkata tindakan selanjutnya akan ditentukan menerusi perbincangan bersama ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO, dengan keutamaan keputusan adalah untuk rakyat dan kepentingan parti.

Selasa lalu, UMNO dalam mesyuarat Biro Politik parti itu meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan PN. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Muhyiddin minta UMNO perinci perjanjian baharu dengan PN


UMNO, Bersatu sudah mulakan rundingan baharu

'UMNO letak syarat kepada PN'