X

Kindly register in order to view this article
!

'UMNO letak syarat kepada PN'

A
A

KUALA LUMPUR - UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan akan memberi syarat baharu kepada kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis.

Ahmad menunjukkan kenyataan yang diputuskan pada Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur malam kelmarin.
Ahmad menunjukkan kenyataan yang diputuskan pada Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur malam kelmarin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu turut dipersetujui sebulat suara oleh 13 Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang hadir dalam Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO yang berlangsung selama dua sesi yang berakhir kelmarin.

"Mesyuarat dua sesi yang diadakan hari ini (kelmarin) dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan semua Pengerusi UMNO negeri kecuali Sabah.

"Kesemua 13 yang hadir (Pengerusi UMNO negeri) sebulat suara setuju dan kita yakin Datuk Seri Bung (Mokhtar Radin) juga akan setuju.

"Jadi, inilah keputusan yang kita lakukan dan ia sebagaimana situasi politik yang mana rakyat sedia maklum selepas (Datuk Seri) Anwar mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini," katanya pada sidang akhbar sebaik selesai Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Putra (PWTC) di sini malam kelmarin.

Dalam pada itu, ditanya sama UMNO akan meninggalkan PN sekiranya syarat baharu itu tidak dipersetujui Muhyiddin, Ahmad berkata, perkara tersebut akan diputuskan kemudian.

"Keputusan itu akan kami putuskan selepas itu," katanya.

Ditanya sama ada keputusan mesyuarat itu turut dimaklumkan kepada rakan Muafakat Nasional, Ahmad berkata, kesemua 39 ahli Parlimen UMNO dan perkara itu juga akan dimaklumkan kepada rakan komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

"UMNO ada 39 kerusi dan empat lagi rakan BN. Kita ada kaedah untuk maklum," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan tindakan UMNO untuk mengkaji semula sokongan terhadap PN mampu memperkasakan muafakat yang lebih tersusun.

ANNUAR MUSA
ANNUAR MUSA

Beliau berkata, UMNO juga berhak menyemak kedudukan mereka (dalam PN) dari masa ke masa.

"Mungkin ada asas tertentu yg menyebabkan UMNO mahu mengkaji semula kedudukannya dalam kerajaan PN.

"Tidak mustahil melalui semakan itu kerajaan PN boleh diperkasakan lagi menerusi muafakat yang lebih tersusun bersefahaman," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, tidak salah untuk UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas kembali ke drawing board politik supaya dapat melakar sesuatu yang lebih baik untuk Malaysia.

"Kita perlu stabilkan politik negara. Kita juga perlu memperkuatkan perpaduan Melayu iaitu asas kestabilan politik negara.

"UMNO, Pas dan Bersatu sama-sama bertanggungjawab mewujudkan perpaduan tersebut," katanya.

Pada masa sama, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menegaskan semua pihak perlu tenang dan lebih bijak menentukan tindakan dengan mendahulukan kepentingan rakyat dan bukan emosi.

"Politik negara perlu distabilkan dan keutamaan mesti ditumpukan kepada menyelamatkan nyawa rakyat dan mengekang pandemik Covid-19 (koronavirus), memulihkan ekonomi negara, meringankan beban hidup rakyat serta menjadikan Malaysia negara yang berjaya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!