X

Kindly register in order to view this article
!

Anwar hadir beri keterangan di Bukit Aman

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Bukit Aman hari ini untuk siasatan penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokong pimpinan beliau.
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Bukit Aman hari ini untuk siasatan penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokong pimpinan beliau.

Anwar hadir pada jam 3 petang melalui Pintu B Menara 2, Bukit Aman bagi memberi keterangan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) JSJ Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan kehadiran Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memaklumkan bahawa sebanyak 113 laporan telah diterima pihaknya setakat semalam berhubung kes terbabit.

Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Huzir turut menggesa orang ramai agar tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita yang mempunyai kecenderungan yang boleh menggugat ketenteraman awam bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.

Sebelum ini, Anwar menerusi satu sidang akhbar khas mengumumkan telah mempunyai sokongan ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau mendakwa yakin mempunyai majoriti hampir dua pertiga ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan, sekali gus menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!