Pemuda Ikatan gesa Mujahid beri penjelasan

Shahir Adnan
Shahir Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Parti Ikatan Malaysia (Ikatan) menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof memberikan penjelasan berhubung isu pelantikan barisan ahli lembaga pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Ketua pemudanya, Shahir Adnan berkata, pihaknya memandang serius mengenai isu pelantikan keseluruhan barisan ahli lembaga pengarah Yadim apabila hampir kesemuanya kalangan ahli politik.

Beliau berkata, pelantikan tersebut bukan sahaja meranapkan harapan rakyat untuk melibat perubahan Malaysia Baru malah turut disifatkan sebagai memperkotak-katikkan manifesto PH dan meruntuhkan institusi agama Islam seperti Yadim.

“Persoalannya, bagaimana Yadim akan berfungsi untuk mengembangkan dakwah Islam di sebalik lantikan politik ini tanpa berlakunya keadaan berat sebelah kepada pendakwah-pendakwah lain?

“Rakyat akan melihat Yadim sebagai salah satu alat politik yang menunggang agama,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sheikh Omar sah dilantik ahli lembaga pemegang amanah Yadim

Semalam, Mujahid mengesahkan mengenai pelantikan Adun Paloh dari DAP, Sheikh Omar Ali sebagai ahli lembaga pemegang amanah Yadim.

Mujahid berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan merit dan kelayakan Sheikh Omar dalam bidang agama dan perkara itu tidak seharusnya menjadi pertikaian mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Shahir berkata, pelantikan Sheikh Omar itu juga akan mewujudkan keadaan yang janggal di dalam kepimpinan Yadim selepas ini berikutan DAP merupakan parti yang mengamalkan konsep sekular.

“Pastinya amat janggal apabila Yadim yang merupakan institusi bertanggungjawab terus kepada perdana menteri dan menteri diterajui oleh ahli lembaga pengarah dari parti yang mempunyai visi dan matlamat berkonsepkan sekularisme,” katanya.