Sheikh Omar sah dilantik ahli lembaga pemegang amanah Yadim

Mujahid ketika berinteraksi dengan peserta yang hadir pada majlis itu.
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengesahkan Adun Paloh, Sheikh Omar Ali dilantik menjadi anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Menurut Mujahid, pelantikan Sheikh Omar dari DAP itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kelayakan dan kemampuan beliau.

“Sebelum ini, kita telah membuat pelantikan awal (bagi jawatan anggota lembaga pengarah Yadim) dan masih terdapat satu lagi kekosongan.

“Jadi, selepas mengambil kira latar belakang dan kemampuan beliau (Sheikh Omar) dirasakan layak untuk memberi sumbangan dan memajukan lagi Yadim.

“Surat pelantikan beliau juga turut ditandatangani Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya ketika ditemui pada Sesi Townhall bersama Penyelidik dan Media di Dewan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita mengenai dakwaan wakil rakyat DAP bakal itu bakal dilantik menjadi anggota lembaga pemegang amanah Yadim.

Ditanya kemungkinan wujud persespsi negatif apabila buat pertama kalinya Adun DAP dilantik menganggotai yayasan khusus untuk masyarakat Islam yang diuruskan kerajaan Pusat itu, jelas Mujahid ia bukan satu masalah.

“ Tidak perlu membuat sebarang persepsi kerana beliau Muslim dan menyumbang idea yang baik. Beliau juga adalah aktivis agama dan mempunyai pemahaman Islam yang jelas.

“Kita tidak boleh nafikan kelayakan beliau hanya disebabkan beliau ahli DAP, itu tidak betul,” katanya.

Sheikh Omar, yang juga exco pembangunan usahawan, koperasi, penerangan dan ekonomi kreatif Johor, mendapat pendidikan peringkat ijazah dalam bidang usuluddin di Universiti Malaya (UM) dengan pengkhususan dalam dakwah.