'Ini gambar empat tahun lepas'

Kenyataan bergambar dimuat naik di Facebook Kelab Che Det hari ini. (Kenyataan Khairuddin di Facebooknya.)
Kenyataan bergambar dimuat naik di Facebook Kelab Che Det hari ini. (Kenyataan Khairuddin di Facebooknya.)
A
A
A

SHAH ALAM - Tular di media sosial hari ini sebuah gambar menunjukkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Hantaran gambar disiarkan Facebook Kelab Che Det itu turut menunjukkan kehadiran isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; bekas Penyelaras Parlimen Jasin Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan isterinya, Datin Seri Umie Aida.

Kelab Che Det dalam hantaran berkenaan mendakwa gambar berkenaan dirakam pada tempoh sebulan yang lalu, namun ia dinafikan Khairuddin menerusi satu kenyataannya hari ini.

“Ini bukan gambar baharu! Saya baru terlihat gambar sedang tular dalam media sosial pada hakikatnya ia sekeping gambar lama diambil lebih kurang empat tahun yang lepas.

“Kalau tak silap saya itu gambar pada bulan Syawal beberapa hari selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya di Facebook hari ini.

Pada masa sama, Khairuddin juga mendakwa hairan gambar berkenaan tular pada waktu ini.

“Saya tidak faham kenapa gambar ini tular pada saat dan ketika masa ini.

“Ada golongan yang tidak bertanggungjawab sedang cuba untuk mewujudkan pelbagai spekulasi di saat negara kita sedang menghadapi suasana politik yang tidak menentu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurutnya, amalan memakai pelitup muka bukan perkara baharu bagi Dr Mahathir, malah menjadi kelaziman memandangkan jangkitan paru-paru dihidapi pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu beberapa tahun lepas.

Selasa lalu, Tengku Razaleigh yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO mengejutkan ruang politik negara apabila turut dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada hari yang sama pertemuan Al-Sultan Abdullah dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ARTIKEL BERKAITAN: Ku Li dijangka menghadap Agong petang ini