Dua pengawal peribadi bantu 'Datuk Seri' loloskan diri

Anggota RELA memeriksa suhu setiap pemandu kenderaan yang memasuki ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. - Foto Bernama
Anggota RELA memeriksa suhu setiap pemandu kenderaan yang memasuki ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suspek bergelar 'Datuk Seri' yang disiasat berkaitan kes Macau Scam dipercayai dibantu dua pengawal peribadinya ketika melarikan diri dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Ahad lalu.

Menurut sumber SPRM, dalam kejadian itu, seramai sembilan orang suspek yang dilepas reman telah dibawa balik ke Ibu Pejabat SPRM untuk proses dokumentasi jaminan.

Menurutnya, setelah tiba di ibu pejabat berkenaan, kelihatan ramai pegawai polis berkumpul di lobi utama menyebabkan kesemua suspek tidak mahu keluar dari kenderaan masing-masing.

"Masa itu, ada dalam kalangan ahli keluarga suspek juga hadir untuk proses jaminan. Selain itu, terdapat kekecohan di lobi utama apabila kesemua orang kena tahan (OKT) enggan turun dari kenderaan kerana kehadiran anggota polis yang ramai di lobi Ibu Pejabat SPRM.

"Hasil perbincangan antara SPRM, polis dan peguam yang hadir, pihak polis akur dan bersetuju untuk menunggu di pintu utama luar Ibu Pejabat SPRM," katanya di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis buru Datuk Seri larikan diri

Menurut sumber, setelah selesai proses dokumentasi jaminan, kesemua OKT dibebaskan dan menaiki kenderaan masing-masing keluar dari Ibu Pejabat SPRM.

Katanya, terdapat empat kenderaan jenis Toyota Vellfire telah memasuki Ibu Pejabat SPRM untuk mengambil suspek.

"Setiap kenderaan yang melalui pintu pagar utama telah ditahan polis dan suspek-suspek ditangkap semula. Bagaimanapun, salah seorang suspek telah dibebaskan dengan jaminan dan diserahkan SPRM kepada peguam beliau.

Artikel Berkaitan:

"Suspek tersebut telah masuk ke dalam kenderaan Toyota Vellfire bersama-sama peguam, pengawal peribadi dan pemandu.

"Namun, dalam pergerakan antara pintu lobi dan pagar utama, suspek dipercayai telah keluar dari kenderaan tersebut dan melarikan diri ke pagar sisi iaitu berdekatan pintu belakang bangunan SPRM.

"Suspek dibantu dua lagi pengawal peribadi yang telah bersedia untuk membantu beliau memanjat pagar dan meloloskan diri dari tangkapan polis," katanya di sini hari ini.

Sumber berkata, kejadian itu disedari selepas polis menahan kenderaan terbabit.

"Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV), suspek didapati memanjat pagar dengan bantuan dua pengawal peribadi dan sebuah kereta Perodua Myvi telah menunggu di tepi jalan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!