UMNO timbang tarik diri sokong PN

Ahmad menunjukkan kenyataan yang diputuskan pada Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn malam tadi.
Ahmad menunjukkan kenyataan yang diputuskan pada Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn malam tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan akan memberi syarat baharu kepada kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, syarat baharu itu akan dikemukakan kepada Muhyiddin esok.

Beliau berkata, perkara itu turut dipersetujui sebulat suara oleh 13 Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang hadir dalam Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO yang berlangsung selama dua sesi hari ini.

"Mesyuarat dua sesi yang diadakan hari ini dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan semua Pengerusi UMNO negeri kecuali Sabah.

"Semua 13 yang hadir (Pengerusi UMNO negeri) sebulat suara setuju dan kita yakin Datuk Seri Bung (Mokhtar Radin) juga akan setuju.

"Jadi, inilah keputusan yang kita lakukan dan ia sebagaimana situasi politik yang mana rakyat sedia maklum selepas (Datuk Seri) Anwar mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini," katanya pada sidang media sebaik selesai Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Putra (PWTC) di sini malam ini.

Dalam pada itu, ditanya sama UMNO akan meninggalkan PN sekiranya syarat baharu itu tidak dipersetujui Muhyiddin, Ahmad berkata, perkara tersebut akan diputuskan kemudian.

"Keputusan itu akan kami putuskan selepas itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada keputusan mesyuarat itu turut dimaklumkan kepada rakan Muafakat Nasional, Ahmad berkata, kesemua 39 ahli Parlimen UMNO dan perkara itu juga akan dimaklumkan kepada rakan komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

"UMNO ada 39 kerusi dan empat lagi rakan BN. Kita ada kaedah untuk maklum," katanya.