X

Kindly register in order to view this article
!

Seorang maut nahas tiga kereta

Operasi mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas menyelamat Road Traffic Accident (RTA).
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang maut manakala dua lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini hari ini.

Kemalangan pada jam 9 pagi di persimpangan lampu isyarat jalan tersebut melibatkan kereta Honda Accord, Perodua Myvi dan Proton Iswara.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu Perodua Myvi yang dipercayai telah hilang kawalan.

"Kereta dipandunya terbabas melanggar tembok batu pembahagi jalan dan seterusnya melanggar dua buah kenderaan lain yang berada di persimpangan lampu isyarat menghala ke Plaza Pelangi.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu Honda Accord parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Dua buah kereta terbalik dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Harimau Tarum, Plaza Pelangi, Johor Bahru pagi tadi.
Dua buah kereta terbalik dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Harimau Tarum, Plaza Pelangi, Johor Bahru pagi tadi.

Sementara itu, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

Ketua Operasinya, Penguasa Bomba Kanan II Nordatul Badrol Abd Rahman berkata, semasa pasukannya tiba seorang pemandu tersepit di tempat duduknya dalam keadaan kereta tersebut terbalik.

"Tindakan operasi mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas menyelamat Road Traffic Accident (RTA). Mangsa disahkan meninggal oleh Pegawai Perubatan yang hadir di tempat kejadian.

"Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis dan mangsa cedera diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya. Operasi berkenaan tamat pada jam 9.52 pagi," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!