Terseksa jadi buruh paksa tentera Jepun

Mohd Shafii memegang pingat 'General Service Medal' yang dianugerah semasa berkhidmat dalam tentera. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR (Mohd Shafii (kanan) ketika masih berkhidmat dalam tentera.)
Mohd Shafii memegang pingat 'General Service Medal' yang dianugerah semasa berkhidmat dalam tentera. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR (Mohd Shafii (kanan) ketika masih berkhidmat dalam tentera.)
A
A
A

Projek landasan kereta api Thailand- Burma atau lebih dikenali sebagai landasan kereta api maut sentiasa menjadi igauan ngeri setiap buruh paksa yang terlibat dalam pembinaannya.

Landasan kereta api berkenaan yang menghubungkan Ban Pong, Thailand dan Thanbyuzayat, Burma (kini Myanmar) dibangunkan oleh Empayar Jepun pada tahun 1943 bagi meraih sokongan kehadiran tentera Negara Matahari Terbit itu dalam Perang Dunia Kedua di Asia Tenggara.

Veteran tentera, Prebet Mohd Shafii Dukun, 93, adalah antara 61,000 orang tawanan perang Tentera Berikat yang dijadikan hamba perang bagi merealisasikan pembinaan landasan tersebut.

Meskipun kelihatan uzur, Mohd Shafii nampak bersemangat dan bersedia berkongsi kisahnya sewaktu dikunjungi Sinar Harian di rumahnya di Kuang, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya sehingga ke saat ini dia masih lagi merasai bagaimana perit dan deritanya sewaktu dikerah membina landasan kereta api itu.

"Saya ditangkap tentera Jepun ketika umur 15 tahun dan dibawa keluar dari kampung di Kuala Kubu Bharu menaiki lori bersama tawanan perang yang lain ke Thailand.

“Pada waktu itu kami tiada pilihan, kalau tidak mahu ikut dan melawan, kepala kami akan dipancung. Sepanjang perjalanan pun ada antara tahanan yang cuba melarikan diri ditembak mati, masa itu hanya terbayang umur kami takkan panjang,” katanya.

Menurut Shafii, apa yang mampu dilakukan ketika itu hanya berdoa dan memohon kepada ALLAH agar diberi keselamatan dan perlindungan.

Artikel Berkaitan:

Kena pijak jika tak larat buat kerja

Beliau sama sekali tidak menyangka tentera Jepun yang selama ini melaungkan slogan ‘Asia Untuk Orang Asia’ melayan tahanan mereka bukan seperti manusia.

“Siang dan malam kudrat kami dikerah. Sehari hanya sekali diberi makanan. Jika tidak makan, kami akan cepat letih dan tak boleh buat kerja. Masa itu askar Jepun akan pukul dan pijak kami paksa suruh buat kerja,” ceritanya.

Mohd Shafii berkata, pengalamannya menjadi buruh paksa itu cukup perit.

Menurutnya, setiap hari dia menyaksikan satu demi satu rakannya yang menjadi buruh paksa meninggal dunia sama ada dijangkiti penyakit, keracunan makanan ataupun dihunus dengan banet senapang tentera Jepun.

Katanya, menerima hukuman fizikal seperti didera, dipukul dan disebat oleh tentera Jepun sekiranya lalai dalam kerja atau melakukan kesalahan sudah menjadi rutin kehidupan hariannya. “Kerja tidak ada cuti, sama ada hujan atau panas kami dikerah. Bila ada yang jatuh sakit dan tidak mampu bekerja, individu itu tidak akan diberi makan. Sakit pun kena kerja kalau tak mahu kena pukul,” katanya.

PVATTBM memberikan sumbangan kepada Mohd Shafii ketika berkunjung di rumahanya di Kuang. Selangor baru-baru ini.
PVATTBM memberikan sumbangan kepada Mohd Shafii ketika berkunjung di rumahanya di Kuang. Selangor baru-baru ini.

Beliau berkata, buruh paksa juga tidak dibekalkan dengan makanan dan ubat-ubatan yang mencukupi.

“Keadaan inilah yang menyebabkan ramai buruh diserang pelbagai penyakit yang membawa maut seperti malaria dan taun,” katanya.

Menurutnya, keadaan buruh paksa amat terseksa dari segi mental dan fizikal.

“Keadaan kami begitu teruk selain menerima seksaan daripada tentera Jepun,” katanya.

Beliau berkata, peralatan yang digunakan untuk pembinaan landasan kereta api itu juga terhad.

“Kami menggunakan tukul yang berat, batang paip keluli, penyodok dan bahan letupan.

“Sebahagian besar bahan buangan dikeluarkan dengan tangan serta menggunakan bakul rotan atau guni beras,” katanya yang menjadi buruh paksa selama setahun.

Mayat ditanam dalam lubang besar

Mohd Shafii berkata, kira-kira 30 orang terkorban dalam sehari dan paling kejam apabila mayat buruh paksa itu ditanam dalam satu lubang besar berhampiran landasan kereta api tersebut.

Walaupun kerja-kerja pembinaan landasan kereta api itu sudah selesai, katanya, buruh paksa yang masih hidup tidak dihantar pulang dengan segera sebagaimana yang telah dijanjikan.

“Sebaliknya, mereka dihantar pula ke Jepun untuk bekerja di lombong arang batu. Ada juga yang disuruh untuk bekerja sebagai penjaga jalan kereta api yang baharu itu,” katanya.

Mohd Shafii berkata, dia bersama tiga lagi rakannya bernasib baik dapat melarikan diri daripada terus menjadi buruh paksa tentera Jepun.

Tentera Jepun sentiasa memantau buruh kasar melaksanakan kerja membina landasan kereta api.
Tentera Jepun sentiasa memantau buruh kasar melaksanakan kerja membina landasan kereta api.

“Kami terpaksa makan apa sahaja dalam hutan ketika dalam perjalanan pulang ke tanah air,” katanya.

Menurutnya, meskipun pernah menjadi buruh paksa, ia tidak sesekali mematahkan semangat perjuangan untuk menabur bakti kepada negara.

“Saya berkhidmat dengan Briged Infantri Pertama Malaya pada 29 Januari 1948,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman tidak boleh dilupakan sepanjang 12 tahun berkhidmat dengan tentera adalah pertempuran di kawasan hutan di Pahang.

“Saya pernah terkena tembakan daripada pengganas komunis pada paha kiri,” katanya.

Menurutnya, generasi hari ini sepatutnya melahirkan rasa bersyukur dan terhutang budi di atas pengorbanan perajurit negara yang berkorban jiwa dan raga demi mendaulatkan bumi tercinta ini.

“Saya sedih apabila melihat ada pihak menentang kerajaan. Bukan mudah nak bebas daripada penjajah, malah kami berusaha mempertahankan negara.

“Saya tidak mahu melihat negara ini dijajah semula. Hargailah keamanan yang telah kita peroleh hasil pengorbanan para perajurit,” katanya.

PVATTBM lawat Shafii di Kuang

SERAMAI 20 ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) berpeluang mendekati serta mendengar sendiri kisah dan pengalaman Mohd Shafii baru-baru ini.

Yang Dipertua PVATTBM Selangor, Faridah Mat Hussain berkata, pihaknya juga memberi sumbangan kepada Mohd Shafii.

“Saya turut dimaklumkan Mohd Shafii menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis. Kami akan mencari bantuan yang bersesuaian untuk disalurkan kepadanya,” katanya.

Faridah berkata, nikmat kemakmuran, keamanan dan keselamatan yang dikecapi kini tidak datang dengan sendirinya, ia adalah hasil pengorbanan pahlawan seperti Mohd Shafii.

“Justeru itu, jangan sesekali melupakan jasa mereka yang berkorban untuk negara,” katanya.

INFO

Sejarah pembinaan landasan kereta api maut

- Pembinaan bermula pada 1943 untuk mewujudkan laluan bekalan ke Burma (kini Myanmar) dan India bagi tentera Jepun.

- Laluan ini menghubungkan Ban Pong di Thailand dan Thanbyuzayat di Myanmar, jarak sejauh 415 kilometer. Satu pertiga daripada landasan kereta api ini terletak di Burma sementara dua pertiga lagi di Thailand.

- Pembinaan landasan ini melibatkan kawasan hutan hujan tropika yang tebal serta lereng bukit yang begitu mencabar termasuk HellFire Pass.

- Tawanan perang Jepun yang terdiri daripada 61,000 orang askar British, Australia, Amerika Syarikat, New Zealand dan Belanda serta 200,000 orang dari seluruh Asia termasuk orang-orang Melayu, China dan India telah dikerahkan sebagai buruh untuk memulakan projek landasan kereta api itu.

- Projek pembinaan landasan kereta api itu bermula pada September 1942 di Burma dan November tahun yang sama di Thailand oleh dua kumpulan pekerja iaitu satu kumpulan bergerak dari utara ke selatan dan satu kumpulan lagi bergerak dari selatan ke utara. Akhirnya kedua-dua kumpulan tersebut selesai pembinaan dan bertemu di Kanchanaburi, Thailand pada Disember 1943.

- Ia digunakan dalam rancangan serangan Jepun terhadap tentera Britain di India serta menguasai jalan dan ruang udara yang digunakan tentera Bersekutu.

- Sebelum itu British sebenarnya telah menjalankan projek landasan kereta api itu tetapi dibatalkan kerana masalah muka bumi yang bergunung-ganang, hujan monsun, penyakit malaria dan sebagainya.

- Namun begitu, setelah Jepun menakluk Tanah Melayu, rancangan itu diteruskan dan mereka telah menetapkan jangka masa projek itu dari September 1942 sehinggal Ogos 1943.

- Sepanjang tempoh dua tahun pembinaannya, seramai 16,000 tawanan perang maut dan lebih 100,000 buruh dari Asia itu dilaporkan meninggal dunia atau hilang.

- Bagaimanapun angka sebenar orang-orang Asia terkorban tidak dapat dikesan dengan tepat kerana rekod yang mengandungi maklumat itu telah dimusnahkan oleh pihak pentadbiran Tentera Jepun pada akhir Perang Dunia Kedua.

- Pada hari ini kerajaan Myanmar telah mengambil inisiatif untuk memelihara aset sejarah itu dan dijadikan destinasi pelancongan. Kanchanaburi yang salah satu stesen landasan itu yang terletak kira-kira tiga jam dari Bangkok, Thailand juga terkenal sebagai lokasi pelancongan.

- Para jurutera hari ini mengiktiraf beberapa perkara yang mengagumkan dihasilkan oleh pihak Jepun dan buruh paksa termasuk penggunaan buluh untuk membina lintasan di atas sungai dan lereng bukit.