X

Kindly register in order to view this article
!

Suami isteri mengaku tidak bersalah tipu pakej pelancongan

Anggota polis membawa sepasang suami isteri ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan menawarkan pakej pelancongan tidak wujud dan tanpa lesen.
A
A

SHAH ALAM - Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 39 pertuduhan menawarkan pakej pelancongan tidak wujud dan tanpa lesen berjumlah RM10,454.

Muhammad Iqbal Mohd Sani, 27, dan Intan Nurulhaleda Mohd Yunus, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa atas 19 pertuduhan menawarkan pakej pelancongan dengan memperdayakan 20 mangsa untuk memasukkan wang dengan jumlah keseluruhan RM10,454 ke akaun I&I Paradise Venture.

Kejadian dikatakan berlaku di Markas Pemerintahan Bantuan Udara, Pangkalan Tentera Udara Subang, Hospital Sungai Buloh, Kampung Paya Jaras Hilir dan Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh; Desa Subang Permai; Seksyen 6 dan Seksyen 31, Shah Alam, antara 25 Jun hingga 30 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pasangan itu juga didakwa atas 20 pertuduhan menawarkan pakej pelancongan tanpa lesen terhadap 20 mangsa yang sama, pada tarikh dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 5 (2) Akta Industri Pelancongan 1992 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5 (3) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda tidak melebihi RM50,000 dan tambahan denda sehingga RM5,000 bagi setiap kesalahan yang terus dilakukannya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Uzair Abd Munir mencadangkan bagi setiap kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 manakala pertuduhan pakej pelancongan tanpa lesen sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, Peguam, Azi Azlin Zulkifli yang mewakili Muhammad Iqbal manakala peguam, Datuk Adnan Rahim bagi pihak Intan Nurulhaleda, memohon jaminan dikurangkan dengan alasan jumlah berkenaan keterlaluan.

Mohamad Redza menawarkan jaminan kepada tertuduh sebanyak RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 16 November depan sebagai sebutan semula kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes tipu pakej pelancongan hotel mewah rekod kerugian RM611,000


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!