'Dapatkan surat kebenaran jika keluar masuk' - Polis Klang Utara

Nurulhuda Mohd Salleh
Nurulhuda Mohd Salleh
A
A
A

KLANG - Orang ramai yang ingin keluar dan masuk ke Lorong Lintang Raksa 2, Jalan Raksa 3 dan Pangsapuri Bukit Kuda, di sini, perlu mendapatkan surat kebenaran polis, kata Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh.

Menurutnya, bagaimanapun, tiada keperluan surat kebenaran atau permit khas bagi tujuan keluar atau masuk ke lain-lain kawasan di daerah Klang Utara setakat ini.

"Namun, arahan ini tertakluk kepada perubahan semasa.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara juga akan melaksanakan dua sekatan jalan raya di Kampung Kuantan membabitkan Jalan Bukit Kuda (Depan Emy Cookies & Food) dan Jalan Bukit Kuda (Simpang Lorong Lintang Raksa 2).

"Selain itu, tiga jalan akan ditutup iaitu Lorong Perak, Jalan Raksa 3 dan Jalan Raksa 4," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, tindakan ini adalah lanjutan daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa hari ini.

Justeru, masyarakat dinasihatkan agar sentiasa mematuhi setiap arahan semasa PKPB. Tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard PKPB. Sila hubungi Bilik Gerakan Op Covid-19 di talian 03-32913344 sekiranya ada sebarang pertanyaan atau aduan.

Artikel Berkaitan: