Trump masih belum serik

Trump menanggalkan pelitup muka beliau sambil menunjukkan isyarat bagus di Balkoni Truman sejurus kembali ke Rumah Putih semalam. - Foto AFP
Trump menanggalkan pelitup muka beliau sambil menunjukkan isyarat bagus di Balkoni Truman sejurus kembali ke Rumah Putih semalam. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - ‘Jangan takut dengan koronavirus (Covid-19). Jangan biarkan ia menguasai hidup anda’.

Kenyataan angkuh itu dikeluarkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam ketika beliau meninggalkan hospital tentera, Walter Reed Medical Center di luar Washington dengan menaiki helikopter untuk kembali semula ke Rumah Putih selepas mendapat rawatan selama tiga hari.

“Kami akan kembali berkempen tidak lama lagi!!!’ ujar bilionair hartanah terbabit menerusi Twitter selepas usaha beliau untuk mengekalkan jawatan di Rumah Putih tergendala berikutan dijangkiti virus tersebut.

Sejurus tiba di kediaman rasmi Presiden AS, Trump, 74, bagaimanapun menanggalkan pelitup muka beliau tanpa rasa bersalah sambil menunjukkan isyarat bagus yang jelas menunjukkan pemimpin terbabit masih memandang rendah ancaman Covid-19 walaupun telah dijangkiti virus tersebut.

Banyak pihak mempertikaikan tindakannya itu memandangkan beliau masih berpotensi menjangkiti individu lain dalam tempoh 10 hari selepas gejala muncul.

Keputusan untuk membenarkan pemimpin itu discaj dari hospital dibuat selepas Trump tidak diserang demam dalam tempoh lebih 72 jam selain tahap oksigen pada tubuhnya berada pada paras normal.

Menurut pasukan perubatan beliau, Presiden ke-45 AS itu telah menerima bantuan bekalan oksigen tambahan sebanyak dua kali sejak dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu.

“Beliau masih belum keluar dari fasa bahaya. Pasukan perubatan akan sentiasa memantau perkembangannya,” kata doktor Rumah Putih, Dr Sean Conley.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, Trump akan meneruskan rawatannya kerana beliau masih diberikan ubat antivirus, remdesivir untuk dos selama lima hari selain perlu mengasingkan dirinya dalam tempoh tertentu.

Sebelum ini, beliau dirawat dengan menggunakan ubat steroid, dexmethasone yang biasanya digunakan untuk merawat kes yang teruk.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Kayleigh McEnany menjadi kakitangan terbaru di kediaman rasmi presiden disahkan positif Covid-19. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Trump, isteri positif Covid-19