Lebih 300,000 kes kebankrapan dicatat 2018

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 303,415 kes kebankrapan yang ditadbir oleh Jabatan Insolvensi di seluruh negara sehingga Disember tahun lepas dilihat amat merugikan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata jumlah kes yang ditadbir itu boleh menjejaskan produktiviti seterusnya pendapatan negara dalam jangka masa panjang.

"Ia harus ditangani dengan lebih cekap oleh jabatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini susulan lawatan kerjanya ke Ipoh, Perak semalam bagi melihat keperluan penambahbaikan infrastruktur kemudahan Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Insolvensi Malaysia dan Mahkamah Tinggi Ipoh.

Vui Keong berkata antara yang boleh dilakukan ialah dengan mengemas kini data sedia ada serta membuat kunjungan kepada para penghutang untuk mengetahui permasalahan di samping memberi panduan dalam mengatasi hutang mereka.

Mengenai penghutang yang telah meninggal dunia namun tiada pemberitahuan diberikan kepada pihak jabatan, Vui Keong meminta agar waris keluarga terbabit memaklumkan kepada pihak Jabatan Insolvensi bagi membolehkan data kes dikemas kini.

Katanya wujud kekeliruan sebelum ini di mana waris dikatakan akan menanggung beban hutang penghutang, termasuk rampasan ke atas harta peninggalan. - Bernama

Artikel Berkaitan: