X

Kindly register in order to view this article
!

Misi pengaman: Malbatt 850-8 berlepas ke Lubnan

Ikmal Hisham (kanan) bersama Affendi (dua, kanan) mengiringi anggota dan pegawai tentera pada majlis pemakaian Beret PBB, penyerahan Bendera Malaysia dan penghantaran kumpulan pertama Batalion Malaysia (MALBALT) 850-8 ke Lubnan bagi misi Pasukan Interim PBB UNIFIL di Pangkalan Udara TUDM hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 850 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) menyertai pasukan Malaysian Battalion (MALBATT) 850-8 bagi menjalankan misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL), hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, kesemua 850 pegawai dan anggota tersebut dibahagikan kepada empat kumpulan, yang mana kumpulan pertama seramai 216 orang yang diketuai Komander MALBATT Kol Azudin Hassan berlepas ke Lubnan, petang tadi.

“MALBATT 850-8 ini merupakan pasukan MALBATT siri ke-8 sejak 2007 sebagai pasukan pengaman bagi menguatkuasakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selama 12 bulan bermula 14 Nov ini hingga 14 Nov tahun depan.

"Mereka semua akan meneruskan misi UNIFIL di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat dan akan ditempatkan di dua petempatan tetap iaitu di Kem Ma'rakah dan Kem Tibnin serta akan melaksanakan tugas-tugas operasi khususnya kawasan yang dipertanggungjawabkan,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan penghantaran MALBATT di Pangkalan Udara Subang, dekat sini.

Dalam pada itu, beliau berkata penghantaran kumpulan pasukan pengaman MALBATT 850-8 merupakan pasukan yang pertama kali tanpa kehadiran ahli keluarga mereka bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ekoran wabak koronavirus (Covid-19).

Ikmal Hisham berkata, pasukan MALBATT 850-8 itu telah menjalani 'Force Integration Training' (FIT) di Port Dickson, Negeri Sembilan dari 29 Jun hingga 21 Ogos lepas yang dikawal selia Markas Angkatan Bersama.

Dalam pada itu, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pasukan MALBATT 850-8 ini telah menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu sebelum bertolak ke Lubnan bagi menjalankan misi UNIFIL hari ini.

"Ini bermakna, sebelum itu, (sejak dua minggu lepas) mereka tiada langsung kontak rapat dengan ahli keluarga masing-masing malah pasukan berkenaan juga akan dikenakan kuarantin selama dua minggu apabila tiba di sana bagi memastikan mereka bebas Covid-19,” katanya.

Affendi berkata, pasukan sebelum ini iaitu MALBATT 859-7 yang dijadualkan tiba di tanah air esok akan menjalani tempoh kuarantin di United Nations Village di Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Anggota yang tiba dari Lubnan ini kita akan pindahkan mereka di UN Village di Port Dickson untuk menjalani kuarantin dua minggu dan selepas itu baru arahan serta tugas-tugas pentabdbiran lain akan dimulakan,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!