X

Kindly register in order to view this article
!

Aspek Covid-19 perlu jadi pertimbangan sebelum bubar Parlimen

Tuan Ibrahim (tengah) menyampaikan anugerah kepada pasukan JPS Negeri Sembilan pada perasmian Sambutan Hari Inovasi JPS 2020 hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUANTAN - PAS yakin aspek penularan wabak koronavirus (Covid-19) menjadi pertimbangan kerajaan, dalam keputusan membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata kebimbangan utama ialah, kemungkinan berlaku peningkatan kes Covid-19 apabila pilihan raya diadakan, mengambil kira apa yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berlangsung, baru-baru ini.

“Situasi PRN Sabah telah mencetuskan gelombang baharu kes Covid-19 di Semenanjung dan keadaan ini perlu diambil kira jika mahu mengadakan PRU15, dalam masa terdekat,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Jabatan Pengairan dan Saliran 2020 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.

Hari ini, sebuah media tempatan melaporkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berharap PRU-15 tidak diadakan dalam masa terdekat, berikutan peningkatan kes Covid-19 yang membimbangkan.

Tuan Ibrahim (dua, kiri) ketika melawat kawasan gerai pameran selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi JPS 2020, hari ini. - Foto Bernama
Tuan Ibrahim (dua, kiri) ketika melawat kawasan gerai pameran selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi JPS 2020, hari ini. - Foto Bernama

Beliau berkata, walaupun SPR bersedia untuk melaksanakan pilihan raya, namun berharap ia diadakan selepas situasi Covid-19 di negara ini terkawal, kerana penularan wabak itu tetap berlaku di PRN Sabah walaupun pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan.

Sementara itu di PUTRAJAYA, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Rosol Wahid berkata, apa sahaja keputusan yang dibuat UMNO diharapkan tidak akan menjejas apa yang dinikmati pada rakyat hari ini.

Beliau berkata berdasarkan maklum balas yang diterima daripada rakyat, beliau mendapati rata-rata mereka berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Rata-rata tempat yang saya pergi rakyat gembira dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, jadi kalau kita wujudkan suasana yang tidak selesa ditambah dengan keadaan Covid-19 yang tidak selesai, saya rasa rakyat akan muak dan benci kepada kita,” katanya mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang meminta Presiden parti itu untuk memikirkan hala tuju UMNO, hari ini.

“Bagi saya itu merupakan urusan dan keputusan UMNO, dan kita sebagai parti yang memerintah termasuk PAS akan menyambut baik apa sahaja yang mereka buat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia di sini hari ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!