X

Kindly register in order to view this article
!

Biden ucap Insya-ALLAH ketika sesi debat dengan Trump

Debat pusingan pertama antara Trump (kiri) dan Biden berlangsung agak kontroversi dan disifatkan yang terburuk dalam sejarah negara itu. - Foto Agensi
A
A

WASHINGTON - Laman Twitter kecoh gara-gara bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden didakwa mengucapkan Insya-ALLAH yang bermaksud dengan izin ALLAH SWT ketika debat pusingan pertama bersama Presiden Donald Trump yang berlangsung agak panas di Cleveland, Ohio pada Selasa lalu.

Momen tersebut dirakamkan ketika calon presiden mewakili parti Demokrat tersebut meragui sama ada Trump yang mewakili parti Republikan akan mendedahkan butiran tentang pembayaran cukainya.

"Anda akan dapat melihatnya," kata bilionair hartanah terbabit berulang kali selepas diasak soalan tentang perkara itu oleh moderator, Chris Wallace selepas The New York Times mendedahkan Trump hanya membayar cukai berjumlah AS$750 (RM3,112) pada 2016 dan 2017.

Biden kemudiannya mencelah, 'Bila? Insya-ALLAH?'

Terdahulu, Biden mendedahkan cukai pendapatan peribadi yang menunjukkan beliau dan isterinya, Jill membayar kira-kira 30 peratus daripada AS$985,000 (RM4 juta) pendapatan kasar mereka.

Sesi debat kontroversi itu turut menyaksikan lonjakan sumbangan dana berjumlah hampir AS$10 juta (RM41 juta) dalam tempoh tiga jam untuk kempen Pilihan Raya Presiden Biden.

Kempen pilihan raya Trump bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sumbangan dana yang diterima mereka.

Dalam perkembangan lain, suruhanjaya yang mengawasi debat Presiden AS memaklumkan ia akan mengubah format sesi tersebut untuk memastikan ia lebih teratur termasuk menutup mikrofon jika salah seorang calon cuba mencelah gara-gara debat antara Trump dan Biden yang disifatkan paling teruk serta memalukan. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Penganjur janji debat Presiden AS tidak kelam-kabut lagi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!