Penganjur janji debat Presiden AS tidak kelam-kabut lagi

Donald Trump (kiri) dan pencabarnya, Joe Biden daripada parti Demokrat menyertai pusingan pertama perdebatan Presiden AS di Cleveland, Ohio pada malam Selasa lalu. - Foto AFP
Donald Trump (kiri) dan pencabarnya, Joe Biden daripada parti Demokrat menyertai pusingan pertama perdebatan Presiden AS di Cleveland, Ohio pada malam Selasa lalu. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Pusingan debat yang seterusnya akan lebih teratur dan tersusun, kata pihak penganjur semalam selepas berlangsungnya perdebatan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pencabarnya, Joe Biden pada malam Selasa lalu.

"Pada malam kelmarin (malam Selasa lalu), perdebatan itu memberi petunjuk jelas bahawa struktur tambahan sepatutnya dibuat dalam format baki perdebatan bagi memastikan ia lebih teratur dan tersusun dalam membincangkan isu dan polisi setiap calon," kata Suruhanjaya Perdebatan Kebangsaan dalam satu kenyataan.

Suruhanjaya itu menyatakan ia akan mengumumkan langkah-langkah bagi memastikan beberapa penambahan 'peraturan' dilakukan bagi mengekalkan 'tatacara yang baik' bagi baki pusingan debat yang seterusnya.

Ia dilakukan selepas debat pusingan pertama selama 90 minit antara Trump dan pencabarnya daripada parti Demokrat itu berulang kali menyampuk dan menggelarkannya sebagai seorang badut.

Pada satu ketika Biden berkata kepada Presiden AS itu supaya tidak 'membuka mulutnya.'

Moderator perdebatan itu, seorang pengacara yang berpengalaman, Chris Wallace kerap dilihat hilang kawalan ketika beliau merayu kepada Trump supaya menghormati peraturan yang sebelum ini dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Wallace mengaku beliau tidak bersedia dengan keadaan 'kelam-kabut' dalam perdebatan itu.

"Saya tidak pernah berfikir bahawa ia akan 'terkeluar dari landasan (peraturan)' sebagaimana yang berlaku," katanya kepada New York Times.

Artikel Berkaitan:

Namun, sebelum ini sudah dijangkakan bahawa Trump akan membawa gaya yang sama seperti pada sidang akhbarnya dan ketika beliau berucap pada perhimpunan dengan mengaibkan pencabarnya tidak seperti Presiden-Presiden AS yang lain.

Kira-kira 73.1 juta penduduk di AS menonton perdebatan itu pada malam Selasa lalu, menurut data daripada firma Nielsen.

Sementara itu, Trump mengisytiharkan beliau memenangi perdebatan itu.

"Perdebatan pada malam semalam (Selasa lalu) adalah hebat. Kita mendapat ulasan yang baik," kata Trump.

Beberapa anggota Demokrat dan personaliti telah mendesak supaya Biden memulaukan perdebatan yang seterusnya tetapi bekas Naib Presiden itu memberitahu media AS semalam bahawa beliau masih merancang untuk menyertainya. - AFP