Wanita lemas 'ditarik' kepala air

Operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di kawasan air terjun Burmese Pool, Bukit Larut semalam.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di kawasan air terjun Burmese Pool, Bukit Larut semalam.
A
A
A

TAIPING - Kegembiraan empat sekeluarga mandi di air terjun Burmese Pool, Bukit Larut di sini semalam bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang itu, K Kanagavalli, 45, dipercayai telah dihanyutkan arus deras selepas kepala air muncul secara tiba-tiba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, mangsa ditemukan oleh sekumpulan nelayan di kawasan Kuala Sepetang iaitu kira-kira 20 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang pada jam 9.10 pagi tadi.

"Operasi mencari dan menyelamat dimulakan sejak semalam sebaik menerima panggilan jam 3.50 petang, namun mangsa gagal ditemui.

"Sehinggalah pagi ini, kita menerima maklumat daripada sekumpulan nelayan yang menemukan satu mayat tersangkut pada sangkar ikan mereka," katanya.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke tebing sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku itu turut menyebabkan dua ahli keluarga mangsa masing-masing wanita berusia 40 dan 47 tahun hanyut.

Bagaimanapun katanya, mereka berjaya diselamatkan orang awam selepas berpaut pada dahan pokok.

Artikel Berkaitan:

"Seorang lagi mangsa iaitu remaja lelaki berusia 16 tahun terselamat kerana ketika kejadian, dia sedang duduk di tebing dan sempat melarikan diri daripada arus deras itu," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 10.30 pagi.