Raptai istiadat lafaz sumpah Agong Ke-16 berjalan lancar

Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela, Bahagian Istiadat Istana Negara, Azuan Efendy Zairakithnaini ketika memberi penerangan kepada wakil media pada taklimat media sempena istiadat lafaz sumpah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, hari ini. - Foto Bernama
Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela, Bahagian Istiadat Istana Negara, Azuan Efendy Zairakithnaini ketika memberi penerangan kepada wakil media pada taklimat media sempena istiadat lafaz sumpah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Raptai bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini berjalan lancar.

Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela, Azuan Effendy Zairakithnaini berkata persiapan tersusun rapi telah dilakukan bagi istiadat yang akan berlangsung pada Khamis ini.

“Kita berusaha bertungkus lumus untuk menyediakan persiapan yang cukup rapi walaupun dalam tempoh masa agak singkat tetapi itu tidak menjadi alasan untuk kita tidak menjalankan persiapan dengan rapi.

“Raptai kita telah adakan dua hari bermula semalam dan hari ini raptai penuh yang juga dihadiri juruiring dan Setiausaha Sulit Negeri Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan Yang Terutama Negeri-Negeri,” katanya selepas raptai itu di Istana Negara.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati raptai bagi Istiadat Keberangkatan Tiba Yang di-Pertuan Agong di Dataran Parlimen yang berlangsung pagi ini juga berjalan lancar.

Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi tempoh lima tahun berkuatkuasa 31 Jan ini manakala Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhamad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Jan lelepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016. - Bernama

Artikel Berkaitan: