Sepakat calonkan Hajiji bukti GRS pentingkan masa depan Sabah

Laporan Sinar Harian hari ini
Laporan Sinar Harian hari ini
A
A
A

IPOH - Kesepakatan parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mencalonkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 membuktikan kecintaan mereka terhadap masa depan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kepimpinan parti itu merakamkan penghargaan dan penghormatan yang tinggi kepada seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kepimpinan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah yang berlapang dada dengan keputusan itu.

“Ini adalah dinamik baharu politik negara yang menjadi tanda aras kepada kematangan ahli-ahli politik GRS dalam memastikan sahsiah politik terus dijunjung sebagai wadah perjuangan untuk menyatukan rakyat dan membina negara, bukannya alat untuk memecahbelahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji hari ini bersama ketiga-tiga timbalan ketua menteri dan dua menteri Kabinet kerajaan negeri yang baharu, mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, Kota Kinabalu pagi tadi.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata pelantikan Hajiji dan pembentukan Kerajaan Negeri GRS Sabah juga adalah kemenangan buat rakyat negeri itu yang telah membuat keputusan melalui proses demokrasi yang berlangsung dengan penuh tertib dan telus mengikut undang-undang pilihan raya.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Hajiji sah KM Sabah, Bung Moktar timbalan

Artikel Berkaitan: