'Husam hanya mahu cari publisiti baru'

Datuk Husam Musa
Datuk Husam Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas mendakwa tindakan Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa menyerang kerjasama politik Pas dan Umno hanyalah bertujuan untuk mencari publisiti baru.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, beberapa cadangan Husam sebelum ini ‘tidak dipedulikan kerajaan’ dan beliau kali ini serang kerjasama politik dua parti berkenaan pula.

Menurut Nasrudin, kerjasama politik Pas-Umno yang bermula selepas PRU14 terjalin disebabkan kelemahan besar PH mengemudi negara termasuk kegagalan menunaikan manifesto mereka.

“Banyak penipuan dan pengkhianatan yang berlaku. Oleh sebab itu, satu koalisi pembangkang yang kuat perlu ditampilkan bagi mengimbangi kemaruk kuasa PH.

“Kerjasama kedua-dua parti juga terpaksa dilakukan ekoran pengaruh DAP cukup besar dalam PH sehingga membawa agenda yang merugikan Islam dan umat Islam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kerjasama politik Pas dan Umno perlu diperkukuhkan supaya kepentingan Islam dan Melayu terbela kerana Amanah tidak memainkan peranan mereka dalam isu tersebut.

“Dalam setiap kerjasama politik semasa yang dijalinkan oleh Pas, garis panduan telah diwujudkan. Husam Musa tidak tahu perbincangan dalaman parti sebab beliau bukan lagi ahli Pas.

“Sejarah panjang Pas menyaksikan pelbagai wajah kerjasama politik telah dilaksanakan, menggarap tindakan demi kepentingan Islam dan perjuangannya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, strategi dan pendekatan Pas sering menjadikan parti itu lebih diterima masyarakat.

“Tanpa menafikan ada yang meninggalkan Pas namun 10 orang pergi meninggalkan parti, Alhamdulillah 1000 orang pula datang menyertai Pas,” ujarnya.

Semalam, Husam menyatakan Pas dan Umno perlu memastikan hubungan kerjasama politik yang terjalin ketika ini tidak menjadi seperti kerbau yang menyelamatkan buaya tersepit.

Beliau yang juga Pengerusi PH Kelantan, berkata, melihat kepada kerjasama yang terjalin kini, ia telah membuktikan semua dakwaannya sebelum ini tidak pernah silap.