PAUiTM sokong tangguh pendaftaran pelajar dari zon merah

Mohd Zaini Hassan
Mohd Zaini Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) menyokong kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad yang menyarankan kemasukan pelajar baharu dan lama dari zon merah ditangguhkan terlebih dahulu sehingga keadaan kembali pulih.

Presidennya, Datuk Mohd Zaini Hassan berkata, penangguhan berkenaan sangat perlu memandangkan terdapat peningkatan kes wabak Covid-19 yang ketara akhir-akhir ini.

"Penangguhan pelajar dari zon merah ini bukan sahaja demi menjaga keselamatan, kesihatan dan kebajikan pelajar UiTM, tetapi ia juga meliputi kakitangan dan staf akademik yang merupakan penggerak universiti.

"Sebarang kejadian yang tidak diingini juga akan menjejaskan hal pentadbiran universiti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaini berkata, PAUiTM memahami kesulitan yang dihadapi oleh sebahagian pelajar yang terlibat tetapi pada masa yang sama meminta semua pihak memahami situasi semasa penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Terdahulu pada 27 September lalu, Kementerian Pengajian Tinggi menyarankan semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka di kampus masing-masing yang dijadualkan bermula Oktober ini.

ARTIKEL BERKAITAN: IPT disaran tangguh daftar semuka

Bagi pelajar dari zon merah, Noraini menggesa proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit dilakukan secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Pelajar hanya dibenarkan pulang ke kampus masing-masing mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada setelah keadaan kembali pulih manakala bagi pelajar yang bukan dari kawasan zon merah, kemasukan ke IPT kekal mengikut kalendar akademik IPT masing-masing.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyokong saranan Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) supaya menangguhkan pendaftaran kemasukan secara bersemuka bagi pelajar dari kawasan zon merah koronavirus (Covid-19).

Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, saranan tersebut perlu dilakukan susulan peningkatan kes semasa Covid-19 setiap hari.

Menurutnya, proses pendaftaran dan pembelajaran bagi pelajar terbabit masih boleh dilaksanakan secara dalam talian.

"Bagi pelajar yang bukan dari kawasan zon merah, mereka masih perlu mendaftar mengikut tarikh yang ditetapkan.

"Oleh itu penangguhan ini juga penting bagi menjaga kebajikan semua pekerja di IPTA," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Pada Ahad lalu, Noraini menyarankan semua IPT menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari zon merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini.

Beliau dilaporkan berkata, kementerian mencadangkan proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit dilakukan secara dalam talian.