Keputusan tangguh daftar pelajar dibuat lebih awal: TNC UUM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Penangguhkan sesi pendaftaran Kemasukan Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda Sesi 2020/2021 secara bersemuka di Universiti Utara Malaysia (UUM) sudah diputuskan pada pertengahan September lalu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, pendaftaran yang dijadualkan pada 5 dan 6 Oktober ini ditangguhkan kepada 23 dan 24 Oktober depan berikutan keadaan semasa Covid-19.

Bagaimanapun katanya, program Minggu Suai Kenal akan berlangsung seperti biasa bermula 7 Oktober sehingga 8 Oktober secara dalam talian.

"Selain itu, sesi pendaftaran kemasukan pelajar lama secara bersemuka bagi sesi 2020/2021 dari tarikh asal yang dijadualkan berlangsung pada 11 Oktober kepada 31 Oktober.

"Bagaimanapun sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) yang akan bermula pada 11 Oktober depan tetap akan dilangsungkan secara dalam talian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, semua keputusan yang dibuat pengurusan UUM sudah diperhalusi sebelum mendapatkan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Warta Kerajaan Persekutuan Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Pengurusan universiti turut akan memantau perkembangan semasa situasi penularan Covid-19 dan sentiasa cakna dengan keselamatan warga UUM.

"Sebarang perubahan baharu atau pekeliling pengurusan universiti akan dimaklumkan dari masa ke masa," katanya.

Artikel Berkaitan: