Dua bulan bonus jika capai KPI, kata MB Selangor

Amirudin bergambar bersama penerima Inspektorat Anuferah Keselamatan Perlindungan (IAKKP) sewaktu Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Selangor hari ini.
Amirudin bergambar bersama penerima Inspektorat Anuferah Keselamatan Perlindungan (IAKKP) sewaktu Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Selangor hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk memberikan bonus lebih daripada dua bulan buat penjawat awam yang mencapai gred Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tertentu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pihaknya akan mencuba sedaya upaya untuk melaksanakan perkara itu, namun ia bergantung kepada kedudukan kewangan semasa kerajaan negeri selepas ini.

Menurut beliau, KPI jabatan dan individu akan digabungkan bermula tahun ini untuk dijadikan sebagai penilaian bagi memudahkan proses pemberian bonus kepada penjawat awam yang mencapai prestasi terbaik dalam perkhidmatan mereka.

"Kia sentiasa cuba untuk beri yang terbaik berbanding tahun lepas namun bukan semua akan dapat jumlah itu (lebih dua bulan) kerana ia bergantung kepada KPI.

"Nisbah pemberian kita akan lihat berdasarkan tren pencapaian pungutan dan hasil negeri," katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Selangor hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahun depan bonus penjawat awam ikut KPI

Menerusi Belanjawan Selangor 2019 sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan pemberian bayaran khas kewangan atau bonus kepada penjawat awam akan dilaksanakan mengikut sistem KPI.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri mempunyai mekanisme bagi melaksanakan penilaian tersebut memandangkan semua jabatan sudah mempunyai KPI sendiri sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Cuma sekarang kita sedang cuba gabungkan dengan KPI pegawai supaya ketua-ketua jabatan dapat beri keputusan yang objektif di samping mengelakkan unsur-unsur pilih kasih.

"Ini merupakan perkara biasa dan kita dah buat pun sebelum ini cumanya kerajaan negeri nak kemaskan lagi untuk penilaian individu," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, bagi mengekalkan prestasi Selangor sebagai pemacu ekonomi negara dan berkembang terus maju, aktiviti ekonomi akan dipelbagaikan melalui penggunaan sumber ekonomi semula jadi yang mampan.

Beliau berkata, kepelbagaian ekonomi ini akan diterjemahkan ke dalam bentuk lokaliti bagi mewujudkan pengkhususan aktiviti dan membolehkan penyediaan infrastruktur serta kemudahan yang bersesuaian secara bersepadu.

"Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi pelaksana di bawahnya sedang mengatur strategi dan usaha bagi memastikan Selangor terus ke hadapan baik dalam bidang ekonomi, sosial dan alam sekitar," katanya.