RMK12 dijangka siap November ini: Mustapa

Mustapa (dua dari kanan) menandatangani plak pada Majlis Perasmian Tapak Projek Kolej Komuniti (KK) Jeli, di Bukit Bunga hari ini.
Mustapa (dua dari kanan) menandatangani plak pada Majlis Perasmian Tapak Projek Kolej Komuniti (KK) Jeli, di Bukit Bunga hari ini.
A
A
A

TANAH MERAH - Penggubalan Rancangan Malaysia Ke-12 kini di peringkat akhir dan dijangka siap sepenuhnya pada November ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, RMK12 dijadualkan dibentang pada persidangan Parlimen awal tahun depan selepas dimuktamadkan.

"Semalam, kita ada libat urus dengan semua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian dan kita maklumkan kita di penghujung proses,” katanya kepada pemberita selepas merasmi dan melawat tapak projek Kolej Komuniti Jeli di Bukit Bunga dekat sini hari ini.

Mustapa (kiri) ketika melawat tapak projek Kolej Komuniti selepas Majlis Perasmian Tapak Projek Kolej Komuniti (KK) Jeli di Bukit Bunga hari ini.
Mustapa (kiri) ketika melawat tapak projek Kolej Komuniti selepas Majlis Perasmian Tapak Projek Kolej Komuniti (KK) Jeli di Bukit Bunga hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, RMK12 menggariskan 10 sasaran selaras dengan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB), namun pihaknya akan meneliti semula beberapa sasaran berkenaan kerana mengambil kira pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda negara ketika ini.

"Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang baharu akan digunakan bermula 2021, maka kita minta pandangan daripada setiap KSU tentang perkara ini selain berkongsi cabaran-cabaran yang dihadapi dalam menyediakan RMK12," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga mengambil maklum harapan tinggi rakyat yang banyak mengemukakan permohonan dan bantuan melalui RMK12 namun kesemua itu tertakluk kepada kemampuan kewangan negara.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, kira-kira 54 peratus daripada RM68 bilion peruntukan bagi pembangunan negara telah dibelanjakan setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Mengenai lawatan kerjanya di beberapa tapak projek di Jeli hari ini, beliau berkata, sejumlah RM200 juta diperuntukkan bagi tiga projek yang berlangsung di jajahan itu.

Projek terbabit ialah pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli dengan peruntukan berjumlah RM103 juta, kuarters untuk anggota dua Rejimen Sempadan dekat sini (RM70 juta) serta Kolej Komuniti Jeli (RM27 juta). - Bernama