Pembunuhan rakyat Korea Selatan, Korea Utara masih membisu

Gambar hiasan. - Foto sumber internet
Gambar hiasan. - Foto sumber internet
A
A
A

SEOUL - Korea Utara masih membisu berhubung pembunuhan kejam seorang pegawai perikanan Korea Selatan yang dilaporkan ditembak di kawasan sempadan perairan kedua-dua negara, meskipun Seoul menuntut permohonan maaf.

Pada Khamis, Kementerian Pertahanan Korea Selatan mengesahkan askar Korea Utara menembak mati pegawai berusia 47 tahun itu, sebelum mayat mangsa dibakar, di perairan berhampiran sempadan Laut Kuning, lapor agensi berita Yonhap.

Pendedahan itu mencetuskan kemarahan orang ramai. Presiden Moon Jae-in terkejut dengan kejadian berkenaan dan ia perbuatan yang tidak boleh diterima walau dengan apa alasan sekalipun.

Pejabat Presiden menuntut Korea Utara mengemukakan permohonan maaf dan menghukum mereka yang bertanggungjawab.

ARTIKEL BERKAITAN:Pegawai Korea Selatan hilang ditembak mati di Korea Utara



Namun, sehingga Jumaat, media Korea Utara, termasuk Rodong Sinmun dan Agensi Berita Pusat Korea masih terus berdiam berhubung kejadian itu.

Tidak dapat dipastikan sama ada Korea Utara akan memberikan reaksi kali ini, memandangkan hubungan kedua-dua negara terhenti sejak sidang kemuncak antara pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dan Presiden Donald Trump awal tahun lalu tidak mencapai sebarang kesepakatan.

Hubungan kedua-dua negara bertambah meruncing baru-baru ini, selepas Korea Utara mengebom pejabat perhubungan di bandar sempadan Kaesong.

Sebelum ini, pada Julai 2008 seorang warga Korea Selatan Park Wang-ja maut ditembak di resort gunung Kumgang di Korea Utara ketika mengembara di zon larangan.

Artikel Berkaitan:

Ketika itu, Korea Utara bertindak pantas mengeluarkan kenyataan sehari selepas kejadian dan menyatakan kesal dengan insiden berkenaan. - Bernama