Pas tetap sokong Muhyiddin sebagai PM

Abdul Hadi - Foto Bernama
Abdul Hadi - Foto Bernama
A
A
A

MARANG- Pas tidak akan sesekali menaiki 'bas ekspres tidak berhenti di stesen' kerana menyifatkannya tidak mempunyai matlamat dan hala tuju jelas.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerana itulah kesemua 18 ahli parlimen Pas akan terus mendokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Beliau terus menyatakan komitmen, bahawa parti itu akan terus bersama Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

"Orang Pas tak naik bas ekspres yang tak berhenti di stesen.

"Saya tidak tahu (adakah itu) sandiwara, cuma kita tak naik bas ekspres yang tak berhenti di stesen, saya tak naik," katanya ketika ditemui di Rusila, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu, sekali gus menumbangkan kerajaan pimpinan Muhyiddin.

ARTIKEL BERKAITAN Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

Anwar menjelaskan, sokongan yang dianggap kukuh dan meyakinkan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebaik sahaja Seri Paduka Baginda keluar dari Institut Jantung Negara (IJN).

Sementara itu, ditanya tentang adakah Pas akan menyertai blok Anwar jika ditawarka turut serta, Abdul Hadi bagaimanapun enggan mengulas sebarang andaian.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang andaian saya tak mahu komen. Kita masih bersama dengan PN dan MN," katanya.

Beliau juga menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai sendiri tindakan Presiden PKR itu yang dikatakan tidak matang, sebagaimana kenyataan Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak, Datuk Alexander Nanta Linggi.

"Biar orang ramai hukum (nilai) sendiri. Saya tak mahu hukum. Saya juga tak akan beri nasihat kepada parti lain, saya hanya beri nasihat kepada parti saya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimen mahu sokong Anwar