Polis KL laksana operasi khas banteras samun emas

Saiful Azly (depan) melihat tong berisi dadah untuk dilupuskan yang akan dihantar ke Negeri Sembilan.
Saiful Azly (depan) melihat tong berisi dadah untuk dilupuskan yang akan dihantar ke Negeri Sembilan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur akan mengadakan operasi khas serta mengadakan perjumpaan dengan peniaga emas dan pengurup wang asing susulan insiden samun emas yang berlaku di Lebuhraya Sungai besi (Besraya) kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan wakil industri itu dalam melaksanakan beberapa tindakan supaya insiden itu tidak berulang lagi.

"Saya juga telah mengarahkan Ketua Polis Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Zainuddin@Hilmi untuk melaksanakan perancangan dengan bijak dan efektif untuk mencegah dan menangkap penjenayah yang terlibat.

"Ia dilakukan memandangkan kes-kes seumpama itu berlaku agak kerap sejak kebelakangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Pelupusan Barang kes dadah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Saiful Azly berkata, pihaknya juga menyarankan syarikat pengedar emas menggunakan khidmat pengawal keselamatan ketika urusan penghantaran barangan berkenaan.

"Kita memang nasihat syarikat pengedar emas menggunakan perkhidmatan itu, namun terpulang kepada mereka.

"Kita tidak boleh tunding jari dan bersangka baik, mungkin mereka ada masalah untuk menggunakan perkhidmatan itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai kes samun Lebuhraya Besraya, Saiful Azly berkata, pihaknya mendapati ada kes di negeri yang mana modus operandinya hampir sama.

"Kita telah melihat sama ada penjenayah terlibat itu individu yang sama dengan kes di negeri lain," katanya.

Terdahulu, polis telah merakam keterangan lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kes samun barang kemas bernilai RM3 juta dan wang tunai RM67,000 di Lebuhraya Besraya di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang itu, mangsa yang bertugas sebagai jurujual sebuah syarikat pengedar emas bersama rakannya dalam perjalanan dari Jalan Kuchai Lama ke Sungai Besi melalui Lebuhraya Besaraya.

Dua buah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna hitam telah menahan kenderaan mangsa di bahagian depan dan belakang menyebabkan kenderaan itu terhenti.

Tiga orang suspek bersenjatakan parang kemudiannya telah memecahkan cermin kiri dan kanan kenderaan mangsa sebelum kedua-dua mereka ditarik keluar.

Suspek bertindak melarikan emas dan wang tunai yang ada dalam kenderaan tersebut dan melarikan diri.