Mayat dalam beg: Empat individu ditahan

Anggota bomba yang memadam kebakaran sebuah kereta menemui sebuah beg hitam yang berisi mayat lelaki tanpa identiti di Kawasan Perindustrian Ringan Pulau Sebang di sini, 17 September lalu. Gambar kecil: Mohd Nor Yhazid Idris
Anggota bomba yang memadam kebakaran sebuah kereta menemui sebuah beg hitam yang berisi mayat lelaki tanpa identiti di Kawasan Perindustrian Ringan Pulau Sebang di sini, 17 September lalu. Gambar kecil: Mohd Nor Yhazid Idris
A
A
A

MELAKA - Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki yang disumbat dalam beg hitam dalam sebuah kereta yang terbakar di Kawasan Perindustrian Ringan Pulau Sebang pada Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, kesemua suspek berusia 26 hingga 31 tahun ditahan di lokasi berasingan di Johor Bharu pada Ahad lalu.

Menurutnya, kesemua suspek termasuk wanita berusia 26 tahun yang merupakan isteri mangsa direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Ahad ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Polis masih menyiasat motif kejadian itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Mohd Nor Yhazid berkata, identiti mayat lelaki itu dikenal pasti berusia 31 tahun dan bekerja sebagai pendawaian elektrik.

"Pengecaman mayat mangsa yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak dibuat oleh adik mangsa," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat dalam beg ditemui dalam kereta terbakar

Pada 17 September lalu, Sinar Harian menyiarkan sebuah kereta yang terbakar di Kawasan Perindustrian Ringan Kuala Ina, Pulau Sebang, membongkar penemuan sebuah beg hitam berisi mayat dalam kenderaan itu.

Mayat lelaki tanpa identiti itu ditemui pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Alor Gajah dan Tampin, Negeri Sembilan ketika melakukan kerja-kerja memadam kebakaran kereta Honda Civic Ferio di hadapan sebuah bengkel kenderaan lebih kurang jam 7.25 pagi.

Artikel Berkaitan:

Pemeriksaan lanjut oleh anggota bomba ke atas kenderaan terbabit selepas pemadaman menemui beg hitam di bahagian tempat duduk belakang.