Umno masih relevan, disayangi rakyat

Ketua Wanita Umno Sabah, Datuk Dr Jainab Ahmad Ayid
Ketua Wanita Umno Sabah, Datuk Dr Jainab Ahmad Ayid
A
A
A

KOTA KINABALU - Kemenangan calon BN , Ramli Mohd. Nor pada PRK Cameron Highlands dengan majoriti yang tinggi membuktikan rakyat masih menyokong Umno dan BN.

Ketua Wanita Umno Sabah, Datuk Dr Jainab Ahmad Ayid berkata, ia juga membawa mesej jelas bahawa Umno dan BN masih relevan dalam persada politik tanah air.

"Wanita Umno Sabah sependapat dengan Ketua Wanita Umno Datuk Dr Noraini Ahmad bahawa keputusan PRK Cameron Highlands juga merupakan satu isyarat bahawa Umno dan BN masih relevan untuk memperjuangkan negara, bangsa dan agama.

"Ini adalah satu isyarat yang jelas bahawa Umno dan BN masih relevan bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, malah di Sabah, ini memperlihatkan rakyat di peringkat akar umbi masih sayangkan Umno dan BN", katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: BN menang, Ramli cipta sejarah Orang Asli jadi MP

Jainab yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Sepanggar mengulas kemenangan calon BN dalam PRK Cameron Highlands.

PRK Cameron Highlands menyaksikan calon BN, Ramli mendapat 12,038 undi menewaskan calon PH, M. Manogaran yang mendapat 8,800 undi. Ramli merupakan Ahli Parlimen Orang asli pertama.

Dua calon Bebas, Sallehuddin Ab. Talib memperoleh 314 undi manakala dan Wong Seng Yee 276 undi.

Artikel Berkaitan:

Jainab bersama-sama para pemimpin wanita Umno Sabah turut terlibat dalam membantu kempen calon BN di Cameron Highlands.

Katanya, kemenangan BN dalam PRK Cameron Highlands juga terhasil daripada hubungan dan kerjasama erat golongan tua dan muda daripada pelbagai bangsa dan agama yang saling hormat menghormati diantara satu dan yang lain.

Pada masa yang sama katanya, rakyat mesti menghormati perlembagaan, keistimewaan orang Melayu, bumiputera dan Raja-Raja.

Sementara itu Jainab berkata, dalam siri turun padang kepimpinan Wanita Umno Sabah ke bahagian-bahagian yang dijalankan baru-baru ini, sambutan daripada rakyat di akar umbi sangat menggalakkan.

Beliau berkata, ramai dikalangan rakyat dan ahli-ahli Umno keliru sama ada Umno masih wujud di Sabah.

"Kerana Umno masih wujud di Sabah maka kami turun menemui ahli-ahli wanita bagi memberi semangat dan keyakinan kepada mereka terhadap perjuangan parti.

"Nampaknya masih ramai akar umbi yang sayangkan Umno dan mereka bersyukur kerana Umno masih wujud di negeri ini", jelasnya.

Jainab berkata, kemenangan Umno dan BN dalam PRK Cameron Highlands telah menyuntik semangat juang baru kepada ahli-ahli Umno Sabah.

"Kita muhasabah diri dan akan terus berjuang untuk agama, bangsa dan negara kita yang tercinta", tambahnya.