Polis rakam 10 keterangan babit dakwaan pesawat terhempas

Tiada operasi SAR dijalankan pihak polis hari ini di kawasan Pulau Tikus berdekatan sebuah hotel di Tanjung Bungah. Gambar kecil: Soffian Santong
Tiada operasi SAR dijalankan pihak polis hari ini di kawasan Pulau Tikus berdekatan sebuah hotel di Tanjung Bungah. Gambar kecil: Soffian Santong
A
A
A

GEORGETOWN - Polis merakam keterangan 10 individu termasuk tiga saksi berhubung kejadian sebuah pesawat ringan yang didakwa terhempas sebelum terjunam ke dalam laut berhampiran Tanjung Bungah di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, saksi ialah dua nelayan dan seorang pengawal keselamatan berusia lingkungan 50-an yang berada di kawasan terbabit.

"Daripada keterangan yang diambil, hanya tiga saksi mengaku ternampak pesawat tersebut manakala tujuh orang awam berada di kawasan berdekatan menyatakan tidak nampak sebarang objek terhempas ke laut.

"Buat masa ini, hanya 10 keterangan diambil untuk membantu siasatan selain keterangan tujuh orang awam yang berada di kawasan berdekatan pada waktu kejadian," katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.

Soffian berkata, menurut saksi, mereka berada 20 meter antara satu sama lain. Kesemua mereka berada pada jarak 1 hingga 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.

"Ketiga-tiga saksi menyatakan perkara sama iaitu ternampak seperti kotak bersaiz kotak mancis berwarna hitam terhempas lalu mengeluarkan objek belon dan kemudian terjunam ke dalam laut ketika berada di persisiran pantai.

"Bagaimanapun, Pasukan Polis Marin yang membuat pemantauan mendapati tiada serpihan pesawat malah, nelayan yang berada dalam bot berdekatan lokasi juga tidak nampak sebarang kejadian," katanya.

Katanya, sehingga jam 11 pagi tadi, polis tidak menerima sebarang laporan polis daripada mana-mana syarikat berhubung kehilangan pesawat persendirian.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga mengesahkan bahawa semua pesawat persendirian yang membuat penerbangan semalam telah selamat mendarat termasuk sebuah helikopter berwarna kuning yang dilihat di ruang udara petang semalam," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan sejak semalam dan akan dijalankan semula jika kita menerima maklumat rasmi atau maklumat baharu," katanya.

Semalam, tular di laman sosial berhubung seorang lelaki membuat laporan polis yang mendakwa dia bersama rakannya ternampak sebuah pesawat ringan terhempas lalu terjunam ke dalam laut di kawasan Pulau Tikus berdekatan sebuah hotel di Tanjung Bungah, di sini.

Saksi mendakwa, kejadian tersebut berlaku sangat pantas dan mereka ternampak pesawat tersebut mengeluarkan asap sebelum terjunam ke dalam laut.