X

Kindly register in order to view this article
!

Saksi dakwa nampak pesawat terhempas, terjunam ke laut

Anggota APM menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi yang didakwa berlaku kejadian pesawat terhempas berhampiran Tanjung Bungah, Georgetown hari ini.
A
A

GEORGETOWN - Polis mengesahkan menerima laporan berhubung sebuah pesawat ringan yang didakwa terhempas sebelum terjunam ke dalam laut berhampiran Tanjung Bungah di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, laporan tersebut diterima daripada seorang saksi bersama rakannya yang mendakwa ternampak insiden tersebut pada jam 2 petang.

Beliau berkata, menurut laporan dua lelaki tersebut, mereka terlihat sebuah pesawat berwarna gelap terhempas dan terjunam, lantas mereka terus membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Selepas menerima laporan itu, polis dan beberapa agensi keselamatan lain melancarkan operasi mencari dan menyelamat di kawasan yang didakwa berlaku kejadian itu.

"Bagaimanapun, sehingga 6.30 petang tadi, kita tidak menemui sebarang petunjuk dan serpihan bangkai pesawat seperti yang didakwa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Soffian berkata, operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada jam 7.40 malam tadi berikutan kawasan pencarian sudah gelap.

"Kemungkinan operasi akan disambung esok sekiranya kita menerima maklumat terbaharu berhubung kejadian tersebut.

"Setakat ini juga kita belum menerima sebarang laporan berhubung pesawat terhempas dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA)," katanya.

Soffian berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak kejadian tersebut supaya tampil menyalurkan maklumat kepada polis untuk membantu siasatan.

"Sekiranya ada pihak yang kehilangan ahli keluarga terdiri daripada juruterbang atau kru pesawat, sila tampil membuat laporan polis.

"Bagaimanapun setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga," katanya.

Hari ini tular di laman sosial berhubung seorang lelaki membuat laporan polis kerana mendakwa dia bersama rakannya ternampak sebuah pesawat ringan terhempas lalu terjunam ke dalam laut di kawasan pantai di Tanjung Bungah di sini.

Lelaki itu mendakwa, kejadian berlaku terlalu pantas dan mereka ternampak pesawat tersebut mengeluarkan asap sebelum terjunam ke dalam laut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!