'Undi PN untuk dapat banyak lagi institusi pendidikan di Tawau'

Nizam Abu Bakar Titingan
Nizam Abu Bakar Titingan
A
A
A

TAWAU - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan meminta rakyat Sabah memberi mandat kepada PN dan sekutunya untuk membentuk kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

Nizam yang merupakan penyandang kerusi itu berkata, ia penting bagi membolehkan rakyat Sabah terus menikmati pelbagai manfaat termasuk peningkatan keperluan pendidikan.

Beliau berkata, kepelbagaian kemudahan pendidikan yang dinikmati rakyat hari ini, misalnya di Tawau adalah hasil usaha pentadbiran kerajaan negeri terdahulu yang sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

"Apabila seiring, kita dapat Universiti Teknologi Mara, Institut Pendidikan Guru, Kolej Komuniti, Politeknik dan Maktab Rendah Sains Mara, ini semua kerana Sabah waktu itu seiring dengan kerajaan pusat," katanya ketika berkempen di Tawau Lama.

Ekoran itu, Nizam meminta rakyat agar jangan terpedaya dengan janji retorik yang ditabur pemimpin tertentu kononnya mahu membina universiti sedangkan banyak janji lain sebelum ini tidak berjaya disempurnakan.

Beliau berkata, pihak di sebelah sana menjanjikan pelbagai tawaran kepada rakyat tetapi berakhir sebagai janji kosong, berbeza dengan PN yang memperlihatkan keikhlasan dan keprihatinan membantu rakyat tanpa mempedulikan perbezaan politik, agama atau bangsa apabila membentuk kerajaan seperti yang dilakukan kerajaan PN di peringkat nasional dan negeri di bawah pentadbiran PN.

"Segenap lapisan rakyat dibantu dan perniagaan diperkasa, kerajaan PN ini yang perlu diundi kerana langkah mereka yang maju ke hadapan dan bukan mundur seperti blok sebelah yang menghasut rakyat dengan sentimen Sabah untuk rakyat Sabah," katanya.

Kerusi DUN Apas menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Nizam, Datuk Amrullah @ Ambrullah Kamal (Warisan), Datu Indal Datu Ismail (PCS) dan Muhd Sayardi Bakal (USNO). - Bernama

Artikel Berkaitan: