X

Kindly register in order to view this article
!

Perhalusi undang-undang sedia ada

A
A

SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) disaran segera menyediakan garis panduan serta memperhalusi undang-undang sedia ada berhubung perbuatan buli siber body shaming.

Pakar Kemaslahatan dan Keselamatan Sosial, Dr Radduan Yusof berkata, undang-undang berhubung perkara itu sudah termaktub di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, antaranya larangan terhadap pemberian kandungan jelik di bawah Seksyen 211 dan larangan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian di bawah Seksyen 233 akta itu.

“Secara tidak langsung Seksyen 233 melindungi individu daripada tindakan atau serangan seseorang di media sosial, namun tidak jelas sama ada ia merangkumi pembulian siber di Malaysia atau tidak.

“Justeru, KKMM perlu mengkaji dan memperhalusi undang-undang sedia ada untuk memastikan perkara ini dapat dihentikan supaya tidak menjadi budaya, malah menjadi barah dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Radduan yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga mengakui masalah itu bukannya sesuatu yang boleh diambil mudah.

Katanya, apabila melibatkan perkongsian maklumat, akhirnya ia mengundang berlakunya kes seperti body shaming atau pembulian siber.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesuruhjaya Sumpah dihina personaliti media sosial buat laporan polis

Menurutnya, berdasarkan laporan daripada Cyber Security Malaysia, terdapat 10,000 insiden berhubung keselamatan siber dilaporkan pada tahun 2018 dan 2019.

“Sifat manusia yang mudah menerima akan cepat terpengaruh dengan maklumat yang disampaikan oleh orang yang mereka percaya, walaupun maklumat itu tidak sahih.

“Perkongsian maklumat yang tidak benar dan hasutan mampu merosakkan keharmonian dan keselamatan dalam negara.

“Maka golongan influencer perlu lebih bertanggungjawab untuk memastikan maklumat yang dikongsikan adalah tepat kerana media sosial kini menjadi wadah utama untuk orang menerima maklumat,” jelasnya.

Sementara itu, pakar sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, sudah ada peraturan di Malaysia yang memberi amaran kepada mereka yang menyebarkan maklumat tidak sahih kepada masyarakat.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, apa yang boleh dilakukan adalah dengan memperketatkan peraturan tersebut.

“Tindakan tegas dengan denda tertentu mungkin mampu untuk memberikan pengajaran kepada mereka yang terbabit sepertimana kerajaan telah lakukan kepada mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika negara berdepan pandemik Covid-19,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!