Bot dirempuh, nelayan dikhuatiri lemas

Operasi SAR diteruskan pada pagi ini bagi mencari seorang nelayan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari botnya di muara sungai berdekatan jeti Pengkalan Segantang Garam, Merbok.Gambar kecil:Zulkifli Mohamad
Operasi SAR diteruskan pada pagi ini bagi mencari seorang nelayan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari botnya di muara sungai berdekatan jeti Pengkalan Segantang Garam, Merbok.Gambar kecil:Zulkifli Mohamad
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki bersama abangnya dirempuh sebuah bot fiber di muara sungai berdekatan jeti Pengkalan Segantang Garam, Merbok, di sini malam tadi.

Mangsa, Zulkifli Mohamad, 50-an, dilaporkan keluar ke laut bersama abangnya, Jaafar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Penguasa Kanan Bomba I, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kejadian terbabit disedari orang awam selepas ternampak mangsa terjatuh dan menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah untuk bantuan.

Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani tiba di tempat kejadian kira-kira jam 8.05 pagi tadi dan memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Berdasarkan maklumat awam, mangsa dipercayai terjatuh di muara sungai berkenaan.

"Setakat ini operasi pencarian di permukaan air sedang dilakukan sementara menunggu ketibaan anggota bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) ke lokasi kejadian untuk pencarian," katanya menerusi suatu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut melancarkan operasi mencari dan menyelamat yang diaktifkan pada jam 10.45 malam tadi oleh Maritime Rescue Sub- Centre (MRSC) Langkawi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, bot mangsa dipercayai dirempuh di bahagian belakang oleh sebuah bot fiber yang dipandu laju sebelum beredar melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, usaha mencari dan menyelamat disambung semula hari ini melibatkan beberapa buah bot dari APMM, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta JBPM.

"Beberapa buah bot nelayan turut membantu operasi pencarian yang mana sektor pencarian pada hari ini meliputi kawasan seluas 12.54 batu nautika persegi," katanya.