Polis cekup enam geng lalok

Chee Khoon (kiri) menunjukkan dadah dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam, hari ini.
Chee Khoon (kiri) menunjukkan dadah dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam, hari ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Enam geng lalok ditangkap dalam serbuan sebuah rumah di Desa Kasih, Merbau Berdarah, Sungai Panjang di sini, Sabtu lalu.

Operasi jam 11.30 malam itu diketuai Inspektor Muhamad Norizan Ramli bersama pasukannya dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Suprintendan Lim Chee Khoon berkata, semua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun berada di bilik belakang rumah berkenaan ketika serbuan.

“Polis menemui 22 peket plastik mengandungi dadah disyaki heroin seberat 18.20 gram bernilai RM500,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini, hari ini.

Chee Khoon berkata, hasil ujian air kencing ke atas keenam-enam suspek didapati positif morfin dan mereka direman tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Chee Khoon berkata, seramai 147 individu di daerah ini ditahan melibatkan kes dadah sejak 1 Januari lalu.

“Berdasarkan pecahan jumlah tangkapan, 11 daripadanya membabitkan Seksyen 39B ADB, empat tangkapan mengikut Seksyen 39A (2) ADB), lapan kes Seksyen 39A (1) ADB), 30 lagi di bawah Seksyen 12(2) ADB) dan selebihnya Seksyen 15(1)(a) ADB),” katanya.

Artikel Berkaitan: