Shafie tuntut bayaran SST daripada Petronas

Mohd Shafie bersama barisan calon Warisan dan penduduk Putatan di Dewan Sri Putatan.
Mohd Shafie bersama barisan calon Warisan dan penduduk Putatan di Dewan Sri Putatan.
A
A
A

PUTATAN - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan menuntut bayaran Cukai Jualan Negeri (SST) daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Beliau berkata, jika bayaran tidak dibuat kepada kerajaan negeri Sabah, perkara itu akan dibawa ke mahkamah.

"Saya akan tuntut cukai, saya sudah letak cukai jualan kepada syarikat. Petronas pun patut bayar. Saya difahamkan Sarawak sudah dapat.

"Kalau bayar Sarawak, kenapa Sabah tidak boleh bayar? Kalau tidak bayar, saya bawa ke mahkamah," katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Petagas dan Tanjung Keramat di Dewan Sri Putatan, hari ini.

Ketika diminta mengulas lanjut berhubung perkara itu, beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) yakin bahawa bayaran akan dibuat kepada kerajaan Sabah.

"Kita pasti kerana kerajaan Sarawak boleh dibayar, kita juga harus dibayar, mereka boleh," katanya.

Petronas dan anak syarikatnya menyelesaikan pembayaran SST sebanyak RM2.9 bilion untuk produk petroleum bagi tahun lalu kepada Sarawak, semalam.

Dalam perkembangan lain, diminta mengulas berhubung kenyataan Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Bung Moktar Radin semalam, bahawa adalah mustahil untuk mendapatkan bayaran royalti minyak sebanyak 20 peratus kepada Sabah dan Sarawak, Mohd Shafie berkata, tidak patut beliau sebagai rakyat Sabah berkata demikian.

Artikel Berkaitan:

"Kalau di Semenanjung boleh dapat berapa peratus, kita tidak boleh berapa peratus, itu minyak kita.

"Bagaimana orang Sabah (Bung) cakap itu untuk orang Sabah ini (rakyat)?" soalnya kepada Bung.

Terdahulu, turut hadir pada majlis itu calon dari Warisan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Rosdy Wasli; calon DUN Petagas, Awang Ahmad Sah dan calon DUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong.