Bergabung supaya tidak dikritik, veteran ATM terbela

Muhammad (kanan) ketika menziarahi Abdul Aziz dan menyampaikan sumbangan kerusi roda di rumah penerima di Pasir Tumboh hari ini
Muhammad (kanan) ketika menziarahi Abdul Aziz dan menyampaikan sumbangan kerusi roda di rumah penerima di Pasir Tumboh hari ini
A
A
A

KOTA BHARU - Tidak sepakat dan saling berlumba mahu menonjolkan diri boleh menjejaskan kekuatan 16 persatuan termasuk kelab yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negeri ini.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM Kelantan, Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, semua persatuan lama dan baharu ditubuhkan itu perlu bekerjasama dalam menjalankan tugas persatuan.

Hal ini katanya, supaya mereka yang bertugas di laut, udara mahupun di darat tidak akan tercicir daripada menerima pembelaan dan manfaat daripada kerajaan setelah tidak lagi berkhidmat di lapangan.

“Apa yang penting adalah perpaduan, tidak berpecah belah, kerana ia merugikan. Kita boleh tubuhkan banyak cawangan tetapi biarlah tentera darat diketuai oleh persatuan (darat), tentera udara pun sama termasuk laut.

“Apabila kita tidak bersatu dan sepakat, kita tiada kuasa, maka orang tidak akan menghormati kita. Jadikan persatuan sebagai pusat untuk bekas tentera salurkan sebarang maklumat dan rujukan bagi kukuhkan hubungan sesama kita,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan kerusi roda kepada Abdul Aziz Mustapha, 58, di Pasir Tumboh, yang cedera di kedua-dua kakinya selepas kenderaan tentera dinaikinya terbabas sebelum terjunam di kawasan Tasik Pergau, lebih 30 tahun lalu.

Pada masa sama, Muhammad juga menyeru supaya kesemua lebih kurang 30 bekas tentera di negeri ini menyertai persatuan yang didaftarkan kerana setakat ini lebih 15,000 sahaja yang menjadi ahli dengan PVATM.

Selain itu, bekas tentera juga perlu jujur yang mana mendaftar dengan persatuan tertentu sahaja untuk memudahkan saluran bantuan diberikan mahupun mempercepatkan penerimaan sebarang maklumat.

Artikel Berkaitan:

Muhammad juga menasihatkan bekas perajurit di negeri ini supaya terus mengamalkan budaya menjaga kesihatan memandangkan hampir lima peratus kebanyakan yang berusia 50 tahun ke atas menghidap penyakit kronik.

“Kebanyakannya diserang strok. Meskipun tidak lagi perlu mengikut jadual senaman dan latihan, saya rasa gaya hidup sihat perlu diteruskan di rumah untuk mencegah penyakit kronik dan sebagainya,” katanya.