Grab lancar RCOE, jangka jana 400 pekerjaan

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Grab hari ini melancarkan Pusat Kecemerlangan Serantaunya (RCoE) di ruang pejabat baharu dengan keluasan 54,000 kaki persegi di sini dan dijangka menjana 400 pekerjaan dalam tahun ini.

Pengarah Negara Grab Malaysia, Sean Goh berkata hampir 300 daripada pekerjaan tersebut dalam fungsi serantau serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Pusat itu akan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dengan segera seperti jurutera perisian, saintis data dan perkhidmatan undang-undang.

"Kami cuba mewujudkan hab kewangan di sini juga," katanya pada taklimat media selepas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking melancarkan pejabat baharu itu di sini hari ini.

Goh berkata pusat itu merupakan respons Grab kepada saranan kerajaan bagi kerjasama awam-swasta untuk membantu memacu pelan tindakan Industri 4.0 dan aspirasi ekonomi digital Malaysia.

Beliau berkata syarikat itu turut komited untuk membantu Malaysia membuka peluang ekonomi yang lebih besar dengan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, membimbing tenaga kerja teknologi dengan lebih baik dan menarik lebih ramai rakyat Malaysia yang berada di luar negara kembali ke tanah air.

"Kami sentiasa mengingati di mana kami bermula, dan Malaysia merupakan lokasi kami mewujudkan Grab hampir tujuh tahun lepas, dengan matlamat asas untuk menyelesaikan masalah keselamatan pengangkutan.

“Pelaburan ini penting dalam misi kami untuk menjadikan pengangkutan dapat diakses dan selamat untuk semua, dan pada masa sama, mewujudkan peluang pendapatan yang lebih baik kepada pemandu dan rakan penyampaian kami. Ia juga membolehkan perniagaan tempatan memanfaatkan asas pengguna dan rangkaian pengedaran kami untuk memperoleh pendapatan perniagaan yang lebih tinggi," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: