Fadzlee mahu penyokong jaga tatatertib sepanjang kempen

Mohd Fadzlee (kiri) bertanyakan khabar peniaga ketika melakukan tinjauan mesra di Tamu Pekan Menumbok kelmarin.
Mohd Fadzlee (kiri) bertanyakan khabar peniaga ketika melakukan tinjauan mesra di Tamu Pekan Menumbok kelmarin.
A
A
A

KUALA PENYU - Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu, Mohd Fadzlee Lee Abdullah mahu penyokongnya sentiasa berbuat kebaikan dan menjaga silaturahim sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Katanya, menjadi prinsipnya untuk berbuat demikian yang sudah menjadi pegangan dalam berhadapan masyarakat setempat tanpa mengira fahaman politik.

"Pada musim pandemik koronavirus (Covid-19) ini kita perlu menjaga diri sepanjang tempoh kempen PRN diadakan. Kita juga perlu menjaga tutur kata dalam membuat suatu hantaran di laman sosial.

"Ini juga adalah berkait rapat dengan Rukun Negara kita yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Saya mahu anda semua jangan menghina dan merendahkan pihak lawan meskipun mereka lawan kita," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan tinjauan mesra di sekitar Tamu Pekan Menumbok di sini semalam.

Mohd Fadzlee yang pernah menjawat jawatan Ketua UMNO Bahagian Beaufort berkata, kemenangan seorang calon perlu diraikan dengan kebaikan tanpa memburukkan lawan.

"Jika kita mahu menang, kita perlu menghormati pihak lawan dan seharusnya menjaga tutur kata sepanjang kempen," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fadzlee berkata, ini kali pertama beliau bertanding pada pilihan raya kali ini dan akan memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Saya lihat sokongan rakyat sangat baik dan ia memberi keyakinan untuk saya bertanding seterusnya merebut kerusi ini pada PRN kali ini.

"Jika diberi mandat, saya akan cuba membawa perubahan yang rakyat Kuala Penyu inginkan," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Fadzlee berharap agar rakyat di kawasan itu dapat memberi sokongan kepadanya untuk membawa perubahan kepada rakyat DUN Kuala Penyu.