Dua individu rugi RM205,596 akibat ditipu

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Dua individu kerugian RM205,596 akibat ditipu dalam dua kejadian berasingan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dalam kejadian pertama pada 5 Ogos lalu, mangsa seorang peniaga berusia 45 tahun mendakwa menerima panggilan telefon kononnya dari pejabat pos.

Menurutnya, mangsa dimaklumkan bahawa ada bungkusan mangsa yang meragukan di pejabat pos dan setelah itu talian disambungkan kepada pihak polis.

"Mangsa dikatakan terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan bagi mengelakkan daripada ditangkap, mangsa diminta supaya membuat bayaran.

"Mangsa telah membuat 12 transaksi ke dalam tiga akaun berasingan di mana keseluruhannya berjumlah RM199,096. Beliau dijanjikan wang akan dipulangkan namun sebaliknya, dia diminta untuk membuat bayaran jaminan lagi.

"Akibat rasa tertipu, mangsa kemudian membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil siasatan pihak polis mendapati 15 laporan polis dibuat ke atas suspek yang sama dengan modus operandi serupa.

Sementara itu, polis memburu seorang individu kerana disyaki menipu seorang pekerja am kononnya bakal menerima barangan kemas dari luar negara sehingga mendorong mangsa membuat bayaran berjumlah RM6,500.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, mangsa telah berkenalan dengan seorang lelaki bernama Hashim Rehan yang tinggal di United Kindom (UK) melalui Facebook Messenger, kemudian Hashim memberitahu akan menghantar hadiah kepada mangsa iaitu gelang tangan, coklat dan wang tunai berjumlah AS$53 ribu (RM215,000).

Susulan itu mangsa membuat pembayaran beberapa kali seperti diminta suspek kononnya bagi tujuan caj perkhidmatan dan pelepasan kastam.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan atau denda, jika sabit kesalahan.