X

Kindly register in order to view this article
!

667 ketua kampung kesal elaun ditamatkan awal

ISMAIL
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 667 ketua kampung lantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kesal apabila elaun bulanan mereka ditamatkan bulan lalu walaupun kontrak perjawatan akan tamat pada Disember ini.

Pengerusi Gabungan Persatuan Ketua Kampung Negeri Johor (GPKKJ), Leftenan Kolonel (B) Ismail Suarno berkata, penamatan elaun empat bulan lebih awal daripada tarikh tamat kontrak disifatkan tidak adil dan menganiaya ketua kampung.

Menurutnya, ketua- ketua kampung masih lagi berkhidmat sehingga hari ini, malah menjadi pasukan barisan hadapan membantu kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengagihkan bantuan kepada penduduk terjejas semasa penularan wabak Covid-19.

"Kami (ketua- ketua kampung) dilantik pada Disember 2018 dan lantikan selama dua tahun berakhir pada Disember ini. Tetapi kami sudah menerima surat elaun ditamatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar ( KPLB) pada bulan lepas dan kemudiannya diikuti kerajaan negeri.

"Sebelum ini kami menerima elaun sebanyak RM500 dari KPLB dan RM400 dari kerajaan negeri. Ini bermakna kami tidak lagi menerima elaun bulanan berjumlah RM900 sejak bulan lepas walaupun masih menjalankan tugas sebagai ketua kampung sehingga ke hari ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Terdahulu, surat terbuka GPKKJ kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tular di media sosial sejak Ahad lalu.

Surat terbuka berkenaan meminta kerajaan PN menangguhkan dahulu keputusan menamatkan pembayaran elaun ketua kampung sehingga kontrak berakhir Disember tahun ini.

Ismail menjelaskan, GPKKJ akan membuat permohonan bagi menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sekiranya isu ini tidak mendapat perhatian sewajarnya.

"Sebagai Pengerusi Persatuan Ketua-Ketua Kampung Johor, saya rasa bertanggungjawab membawa keluhan dan memperjuangkan hak ketua-ketua kampung yang kini masih patuh arahan kerajaan negeri.

"Kami tidak menentang pelantikan ketua kampung baharu yang sedang dijalankan sekarang ini kerana memahami ia hak kerajaan negeri tetapi tindakan menamatkan elaun seperti dalam kontrak sangat tidak adil," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan 9 Mukim Benut Pontian, Roslan Alwi ketika dihubungi Sinar Harian kesal dengan tindakan menamatkan elaun ketua kampung walaupun belum tamat kontrak perkhidmatan.

"Seolah- olah kerajaan baharu iaitu PN tidak hargai jasa kita. Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuat kuasa, kami ketua kampung bersama kerajaan ketika itu membantu penduduk.

"Bantuan tidak cukup kami usahakan, rumah penduduk yang jauh kami pergi sampaikan bantuan," katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri dan KPLB perlu mempertimbangkan semula keputusan dan sekurang- kurangnya melakukan perbincangan dengan ketua kampung terlibat bagi menyatakan sebab elaun mereka ditamatkan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!